Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas ketua Bersatu Putrajaya kembali ke pangkuan Umno

Bekas ketua Bersatu bahagian Putrajaya, Erwan Mohd Tahir dilaporkan kembali menyertai Umno.

Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan penyertaan semula Erwan dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

"Hari ini Umno Bahagian Putrajaya menerima permohonan bekas Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir bersama 120 orang untuk menyertai Umno," katanya.

Menurut Tengku Adnan, keputusan tersebut dibuat Erwan selepas dia melihat hanya Umno mampu menamatkan beberapa polemik politik yang menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi semasa pandemik Covid-19.

“Saya percaya hanya Umno dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan Malaysia dan Raja-Raja Melayu seperti mana yang dinyatakan dalam asas dan tujuan penubuhan Umno dan juga setelah mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara,” kata Tengku Adnan yang memetik kenyataan Erwan.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata dia percaya, ramai lagi yang akan kembali bersama dalam landasan perjuangan Umno selepas ini.

Sementara itu, pemangku Ketua Bersatu bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim dalam satu kenyataan berkata Erwan bukan lagi ketua bahagian berkenaan sejak hampir setahun lalu.

"Ini kerana dia telah meletakkan jawatan selaku ketua bahagian dengan disaksikan oleh AJK bahagian dan ketua-ketua cawangan yang hadir pada 10 Oktober 2020 setelah beliau tewas dalam pemilihan jawatan naib presiden yang ditandinginya tahun lalu.

"Sepanjang tempoh kekosongan jawatan tersebut, timbalan ketua bahagian Fathul Azam telah memangku sekali gus menyandang jawatan ketua bahagian Putrajaya," katanya.

Menurut Fathul, Bersatu Putrajaya tidak terkesan dengan perletakkan jawatan tersebut, malah mendakwa semakin mendapat sambutan keahlian dari warga Putrajaya. Dia juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Erwan.