Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Australia bakal buka semula sempadan mulai November

GLOBAL l Sempadan antarabangsa Australia akan dibuka semula mulai November selepas ditutup selama 18 bulan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Scott Morrison pada Jumaat mengumumkan perkara itu memandangkan hampir 80 peratus populasi dewasa sudah diberikan suntikan vaksin Covid-19, lapor Xinhua.

Di bawah pelan pembukaan semula itu rakyat Australia dan penduduk tetap yang lengkap divaksin perlu menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari sejurus ketibaan dan bukan 14 hari di hotel seperti sebelum ini.

Namun, ia bergantung kepada negara dan wilayah yang mencapai 80 peratus liputan vaksinasi dalam kalangan mereka berusia lebih 16 tahun dan bersetuju untuk melaksanakan kuarantin di rumah, projek perintis sedang dijalankan di Australia Selatan dan New South Wales (NSW).

"Inilah masanya untuk kembalikan kehidupan rakyat Australia. Kita perlu bersama-sama memastikan penduduk Australia dapat semula kehidupan yang pernah mereka lalui di negara ini," kata Morrison kepada wartawan.

Perubahan itu bermakna warga Australia yang lengkap vaksin Covid-19 bebas keluar dan masuk ke negara ini buat pertama kali sejak Mac 2020.

Therapeutic Goods Administration (TGA) telah mencadangkan vaksin Sinovac, China dan Covishield, India turut ‘diiktiraf’ bagi menggalakkan pelajar antarabangsa menyambung semula pengajian di Australia.

Setakat ini hanya vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan Janssen mendapat kelulusan TGA.

- Bernama