Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Banjir di Kedah: 14 PPS masih beroperasi

Seramai 263 mangsa banjir daripada 95 keluarga masih berlindung di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka di Kedah sehingga pukul 8 malam ini.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata 12 PPS dibuka di daerah Baling dan dua di Sik.

"PPS di daerah Baling menempatkan 235 mangsa daripada 89 keluarga manakala 28 mangsa daripada enam keluarga pula ditempatkan di PPS SK Gulau (Sik) dan SK Sik," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya PPS di Baling terdiri daripada SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung, Dewan Banggol Derom, Maktab Mahmud Baling, SK Malau, Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang, Surau Barakah Tembak B dan Kampung Padang Kupang.

Sementara itu Saifuddin berkata satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi dalam daerah Padang Terap telah ditutup pada pukul 2 petang tadi, selepas 10 mangsa banjir daripada enam keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Kesemua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut berikutan keadaan cuaca yang baik hari ini," katanya

- Bernama