Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dr M cadang firma swasta lakukan audit kedua pada agensi kerajaan

PARLIMEN | Putrajaya perlu mendapatkan khidmat firma swasta untuk melakukan pengauditan kedua terhadap agensi-agensi kerajaan selepas ia menjalani audit dalaman, kata Dr Mahathir Mohamad.

"Audit kerajaan tidak memadai. Adakalanya kita perlu dapatkan juruaudit swasta untuk melakukan audit kedua akaun-akaun yang disimpan oleh jabatan-jabatan kerajaan.

"Bukanlah kita nak beri peluang kontrak kepada mereka tetapi (pilihan) di antara kehilangan wang yang banyak dengan membelanjakan wang untuk selamatkan wang kita, saya fikir, kita perlu pilih untuk selamatkan wang dengan menggunakan wang tersebut bagi mendapatkan pakar-pakar menentukan segala yang diuruskan berjalan dengan sangat baik," katanya.

Ahli parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia dibuat selepas Laporan Audit Negara 2019 siri 2 di dibentangkan di parlimen pada Selasa lalu.

Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid berkata sebanyak 17 audit prestasi melibatkan RM90.635 bilion dilakukan untuk laporan tersebut sementara 62 cadangan dikemukakan untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan dilakukan.

Audit bebas sebelumnya dari agensi kerajaan merangkumi tinjauan PriceWaterhouseCoopers (PwC) terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2018 mendedahkan entiti itu mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion pada akhir 2017.

Angka berkenaan pernah dipertikaikan pengerusi TH ketika itu, Abdul Azeez Abdul Rahim, yang mendakwa sepatutnya badan yang mengelola wang umat Islam berkenaan sepatutnya mempunyai "lebihan" sebanyak RM373 juta.

Pemeriksaan kedudukan kewangan TH oleh PwC pula mendapati terdapat penurunan nilai dalam ekuiti sebanyak RM4.258 bilion yang sebelumnya disembunyikan TH melalui perakaunan kreatif.