Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Keputusan rayuan batal kes ganja anak Mat Sabu 27 Oktober ini

Rayuan anak bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah akan diketahui 27 Oktober ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh keputusan itu berdasarkan rayuan Ahmad Saiful.

Perkara itu disahkan peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, selaku perayu kepada Malaysiakini.

"(Pendengaran rayuan) telah diselesaikan (hari ini di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah). Keputusannya adalah pada 27 Oktober,” kata Nasar.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Ahmad Saiful Islam selepas didapati bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan (24 Jun).

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara rayuan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan tetrahydrocannabinol (THC) (ganja) di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pada 3 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Ahmad Saiful Islam membela diri terhadap pertuduhan itu.

Enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang bermula 15 Okt tahun lepas.