Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan teliti cadangan tingkatkan vaksinasi di kalangan antivaksin

Kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bagi meningkatkan penerimaan vaksin Covid-19 dalam kalangan golongan yang menolaknya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, antara cadangan adalah menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas seluruh penduduk Malaysia.

Namun, katanya, cadangan tersebut merupakan “inisiatif terakhir” dalam pertimbangan kerajaan.

“Langkah mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 ke atas seluruh rakyat Malaysia merupakan cadangan inisiatif terakhir yang sedang diteliti oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam jawapan bagi pertanyaan lisan di Parlimen.

Peruntukan sama digunakan untuk mewajibkan mereka yang terdedah kepada Covid-19 menjalani kuarantin dan telah terdapat kes mereka yang melanggar kuarantin dipenjarakan.

Berdasarkan Seksyen 11(3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, adalah sah bagi seorang pegawai berkuasa untuk mengarahkan mana-mana orang yang tinggal di kawasan tempatan jangkitan atau di mana-mana bahagian, untuk dirawat atau diimunisasi; diasingkan, diperhatikan atau diawasi; dan dikenakan apa-apa langkah lain yang difikirkan wajar.

Seksyen 11(4) menambah: “Adalah sah bagi seseorang pegawai diberi kuasa menggunakan kekerasan, dengan bantuan atau tanpa bantuan, yang perlu dan menggunakan apa-apa cara yang mencukupi untuk memastikan bahawa apa-apa arahan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3) dipatuhi”.

Kegagalan untuk mematuhinya boleh menyebabkan pesalah dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan berulang, di bawah Seksyen 24.

Setakat ini, kerajaan hanya pernah menggunakan peruntukan itu untuk kuarantin, tetapi belum untuk vaksinasi.

Kata Khairy lagi, selain peruntukan itu, kerajaan sedang meneliti alternatif lain seperti pilihan ‘opt out’ bagi individu yang tidak mahu mengambil vaksin dan setuju untuk tidak menikmati kemudahan yang diberikan kepada penerima vaksin Covid-19 lengkap.

Selain itu, alternatif lain ialah mewajibkan vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk melakukan aktiviti tertentu seperti memasuki kemudahan awam (seperti premis makan, kompleks beli belah, premis-premis kerajaan, universiti, perpustakaan) dan aktiviti sosial (misalnya bersukan).

“(Turut dipertimbang) Cadangan mewajibkan pengambilan vaksin dalam sektor tertentu sahaja seperti sektor kesihatan, sektor keselamatan, sektor pendidikan dan sektor perkhidmatan melalui peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Kata Khairy, sebarang cadangan perlulah dipertimbangkan oleh jemaah menteri terlebih dahulu.

Bagaimanapun, layanan berbeza terhadap individu tidak divaksin dengan individu belum divaksin menjadi cabaran perundangan buat kerajaan.

Terdahulu, ada beberapa individu yang menolak vaksin membawa kerajaan ke mahkamah atas dakwaan diskriminasi.

Khairy berkata lagi, kerajaan menganggarkan bahawa golongan yang menolak vaksin Covid-19 hanya lima peratus daripada populasi.

Namun katanya lagi, terdapat segelintir masyarakat yang terpengaruh dengan dakyah antivaksin yang menakut-nakutkan masyarakat dengan kisah-kisah yang didakwa akibat pengambilan suntikan vaksin tanpa ditentukan kesahihannya.

“Buat masa ini, tindakan perundangan yang melibatkan individu yang mempengaruhi atau menghasut orang lain untuk tidak mengambil vaksin boleh dikuatkuasakan dengan menggunakan akta-akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan,” katanya lagi.