Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

K’jaan kaji tambah baik pencen pesara miskin

PARLIMEN l Kerajaan sedang meneliti untuk memastikan pencen penjawat awam khususnya kepada yang berada di bawah Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata, buat masa ini, pencen minimum adalah pada kadar RM1,000 sebulan - manakala garis PGK adalah RM2,208.

“Bagi mereka yang segelintir yang mungkin kurang daripada pendapatan garis kemiskinan, mereka mungkin terpaksa bekerja untuk memenuhi keperluan kehidupan.

“Itu adalah suatu perkara yang sedang difikirkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melakukan satu kajian yang akan dibentangkan kepada perdana menteri, sebelum dibawa ke kabinet.

Tujuan kajian itu, katanya, adalah untuk memastikan penjawat awam dapat hidup selesa apabila sudah bersara.

Terdahulu, dia turut memaklumkan bahawa bayaran pencen meningkat kira-kira 2 peratus setiap tahun sejak 2013, dan betapa cadangan untuk memberikan kenaikan lebih besar bagi membantu pesara berdepan wabak Covid-19 haruslah dikaji terlebih dahulu.

Abdul Latif berkata demikian dalam Waktu Pertanyaan Menteri, sebagai menjawab soalan daripada Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang membangkitkan tentang kesusahan pesara B40 dan keluarga mereka setelah mereka meninggal dunia.

Kasthuri mempersoalkan kadar pencen minimum RM1,000 sebulan, dengan berkata dia ada menerima makluman daripada balu pesara yang hanya menerima pencen RM670 sebulan.

Jawab Abdul Latif, kes sedemikian adalah terpencil.

Katanya, selepas pesara meninggal dunia, warisnya masih lagi menerima bayaran pencen, tetapi selepas 15 tahun, amaun diterima akan “perlahan-perlahan dikurangkan”.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan melihat hal yang dibangkitkan.

Sementara itu, M Karupaiya (PH-Padang Serai) mahu tahu apakah kerajaan komited untuk membuat penyelarasan pencen baru dan lama buat veteran angkatan tentera.

Dakwanya, ramai veteran yang sudah tua tidak mampu untuk membeli ubat.

Abdul Latiff menjelaskan bahawa pencen veteran tidak diselaraskan, dengan veteran yang lebih tua yang berkhidmat pada 1970-an sebagai contoh, menerima kurang daripada daripada veteran yang lebih baru.

Sebagai contohnya, katanya, pegawai waran yang berkhidmat pada tahun 1970-an mungkin menerima pencen sebanyak RM1,000, manakala pegawai waran kini menikmati pencen sekitar RM3,000.

Katanya hal itu adalah masalah perkhidmatan (service).

Pun begitu, katanya, keperluan perubatan golongan veteran sememangnya dijaga dan ditanggung kerajaan - oleh itu, tidak seharusnya timbul isu seperti yang dibangkitkan.