Waspada kejadian kepala air ketika riadah di sungai, air terjun
Kawasan rekreasi dan ekopelancongan yang mempunyai air terjun dan sungai kini kembali menjadi tumpuan ramai sebaik sahaja Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilonggarkan bagi beberapa negeri termasuk di Lembah Klang.
Namun, dalam keterujaan bermandi-manda di kawasan rekreasi berkenaan, ada yang alpa terhadap aspek keselamatan menyebabkan isu kes lemas di sungai dan air terjun menjadi bahan berita saban hari.
Antaranya, di Hulu Selangor sahaja, sudah ada dua kes terperangkap di sungai akibat fenomena kepala air iaitu pada 17 September dan 19 September lalu.
Insiden itu membabitkan tujuh orang lelaki di Sungai Kedondong, Batang Kali dan seorang lelaki terperangkap selama kira-kira 20 minit di seberang sungai dekat Jalan Batang Kali-Genting.
Susulan daripada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti lapan lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai dan mengistytiharkan sebagai kawasan berisiko berlaku ancaman fenomena kepala air terutama ketika musim hujan di Hulu Selangor.
Namun, masih ada yang mencuri-curi menyelinap ke dalam hutan untuk beriadah di kawasan air terjun seperti yang dilaporkan oleh media tempatan pada Selasa 28 September lepas. Dalam laporan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan 56 orang individu yang mendaki Air Terjun Setinggi, Hutan Simpan Serendah tanpa kebenaran pada 25 September lepas.
Fenomena kepala air
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Dr Md Nasir Md Noh ketika memberi pandangan mengenai fenomena kepala air berkata, kebanyakan kawasan sungai di Malaysia berisiko tinggi untuk berlakunya fenomena sedemikian, terutamanya ketika hujan lebat.
"Apatah lagi dengan perubahan iklim yang sedang melanda dunia termasuk negara kita sekarang, yang menyebabkan perubahan iklim berlaku dengan ekstrem dan sukar dijangka. Mungkin kita lihat pada tengah hari cuaca baik tetapi ia boleh berubah dalam sekelip mata dengan taburan hujan yang tinggi.
"Rujuk kepada ramalan cuaca sebelum merancang kunjungan ke kawasan ekopelancongan bersama keluarga. Bersedia dengan peralatan keselamatan dan kenal pasti kawasan dikunjungi berisiko ataupun tidak," katanya ketika sesi webinar 'Fenomena Kepala Air Dalam Kawasan Ekopelancongan' anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Webinar itu turut menampilkan ahli panel lain iaitu Timbalan Pengarah Pusat Serantau Tropika Lembap Hidrologi dan Sumber Air Bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Jabatan Pengaliran dan Saliran Dr Norlida Mohd Dom dan moderator Pengarah Bahagian Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri JPSM, Mohd Yussainy Md Yusop.
Menurut Md Nasir, kejadian kepala air berlaku apabila tanah yang lemah mendapat beban atau diganggu dan tepu dengan air, mengalir ke cerun sebagai tindak balas graviti apabila hujan lebat.
"Kebiasaannya, aliran puing ataupun debris flow ini bermula dari hulu di kawasan pergunungan, mempunyai halaju (hala laju) yang tinggi iaitu 14 hingga 15 meter sesaat terutamanya di kawasan ekopelancongan, dan menyebabkan perubahan morfologi signifikan di sepanjang dasar sungai dan lereng gunung.
"Apabila fenomena kepala air berlaku, ia akan membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa seperti mana yang berlaku di Gunung Jerai, Kedah pada 18 Ogos lalu," katanya.
Dia menambah, kebiasaannya, fenomena kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal, antaranya perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman, aliran air tenang bertukar deras selain sampah-sarap berkumpul di satu tempat.
"Kepala air ini dalam lima hingga 10 minit boleh naik satu hingga dua meter, air daripada dua meter sesaat boleh naik sehingga 10 meter sesaat, sangat laju.
"Ada kalanya akan kedengaran bunyi letupan kuat, sama ada akar pokok tidak stabil, menyebabkan tanah pecah dan pokok tumbang. Apa yang berlaku kemudiannya kayu dan sisa akan menuju ke arah mereka.
"Jika terdengar bunyi letupan kuat ataupun apa-apa bunyi kuat luar biasa ketika bermandi-manda di sungai atau air terjun, segera tinggalkan kawasan sungai itu demi keselamatan," nasihatnya.
Langkah keselamatan di kawasan ekopelancongan
Menurut Md Nasir, Nahrim sedang mengkaji keberkesanan teknologi Empangan Sabo yang diguna pakai di luar negara seperti Jepun, Indonesia, Nepal dan Filipina sebagai struktur mitigasi bencana kepala air dan pencegahan hakisan di kawasan-kawasan berisiko tinggi.
"Kami turut berhubung dengan Kedutaan Jepun dan Institut Pendidikan di Jepun untuk membantu mengenal pasti kawasan sesuai untuk dipasang. Setakat ini, dua kawasan yang dicadangkan iaitu di kaki Gunung Kinabalu, Sabah dan Yan, Kedah.
"Antara kelebihan pemasangan Empangan Sabo adalah mengawal aliran kayu, batu dan sedimen, menstabil tebing dan dasar sungai, memelihara cerun dan biodiversiti serta untuk keselamatan setempat.
"Faktor pemilihan lokasi pembinaan Empangan Sabo adalah alur sungai relatif yang lurus dan lebar, tebing sungai yang tinggi dan kebolehupayaan tanah yang baik, " katanya.
Md Nasir berkata, Pelan Pengurusan dan Pemantauan secara bersepadu dalam pengurusan kejadian kepala air perlu diwujudkan di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri bagi menangani fenomena itu dengan berkesan.
Antara tindakan yang disyorkan menerusi pelan ini adalah memasang papan tanda amaran kejadian kepala air, sistem ramalan dan amaran secara 'real-time', serta sistem pemantauan sensor pergerakan tanah dan CCTV bagi pengesanan awal di kawasan kritikal.
"Selain itu, perlu dibangunkan Debris Flow Forecasting and Warning System dan mewujudkan kumpulan pasukan petugas untuk memantau kejadian kepala air," katanya, sambil menambah, kaedah pelan pencarian, menyelamat serta pemindahan semasa kejadian kepala air perlu disediakan mengikut kepentingan dan keselamatan pelancong serta penduduk setempat.
Dalam masa yang sama, dia turut menyarankan pembinaan lorong kecemasan untuk pengunjung melarikan diri dari kawasan sungai atau air terjun yang berlaku kejadian kepala air serta perkongsian data dengan kerjasama pelbagai agensi.
Kebersihan sungai ketika riadah
Sementara itu, Pengurus Program Pemuliharaan Sungai, Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Dr K Kalithasan ketika dihubungi Bernama berkata kejadian kepala air akan menjadi lebih buruk sekiranya sungai dan kawasan ekopelancongan dipenuhi dengan sampah sarap.
"Ketika kejadian kepala air berlaku, air akan mengalir deras dan turut menghayutkan kayu balak, sampah dan tersangkut di lintasan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penempatan berdekatan lalu berlakunya banjir.
"Jika aktiviti manusia seperti pembalakan, pembangunan dan kawasan ekopelancongan yang menganggap sungai itu sebagai tempat pembuangan sampah, ia bukan sahaja merosakkan landskap persekitaran malah akan memburukkan sebarang bencana yang berlaku akibat hujan lebat," katanya.
Justeru, dia mencadangkan supaya taman eko rimba, hutan simpan dan kawasan ekopelancongan memulangkan balik bayaran tiket masuk kepada mana-mana pengunjung yang dapat membawa sampah-sarap pulang selepas aktiviti beriadah.
"Selain penguatkuasaan undang-undang dan menyediakan kemudahan tong sampah, cara ini juga boleh memupuk kesedaran masyarakat untuk membersihkan kawasan sungai selepas beriadah kerana jika ada kemudahan dan penguatkuasaan sekali pun, tabiat membuang sampah merata-rata masih lagi wujud.
"Sebagai contoh, kawasan ekopelancongan boleh mengenakan tiket masuk sebanyak RM10 setiap pengunjung dan sekiranya mereka dapat membawa pulang sampah-sarap mereka dan membersihkan kawasan sungai selepas beriadah, mereka boleh mendapat bayaran balik, mungkin RM8. Ini bermakna caj tiket masuk hanya RM2, “ katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai