Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PULASAN | Memartabatkan negara dengan kisah-kisah aneh anak bangsa

PULASAN | Pada suatu hari bertahun-tahun dulu saya didatangi seorang lelaki yang teruja membawa telurnya yang aneh. Dia mahu keunikan telur itu dijadikan bahan berita.

Telur ayamnya itu dianggap unik kerana kulitnya tidak seperti biasa. Ada kedutan di sana sini sehingga membentuk imej seperti kalimah Allah. Lalu saya khabarkan kepada seorang rakan sekerja mengenai telur tersebut.

Apakah reaksi wartawan itu? Dia ketawa berdekah-dekah!

Suka atau tidak, sebenarnya kita ini berahi benar dengan kisah-kisah aneh. Sementelah pula penerbitan yang laku keras adalah yang memaparkan kisah-kisah aneh. Kejadian ajaib di Tanah Suci, misalnya, sehinggakan seolah-olah keimanan kita perlukan bukti keganjilan dan keramat untuk dikukuhkan.

Tidak hanya itu, pelbagai kejadian besar juga memiliki sisi aneh tersendiri dan sesetengahnya kekal 'misteri' sehingga kini.

Operasi mengambil dan memindahkan senjata api dari kem tentera di Gerik ke sebuah perkampungan kecil di Jenalik, misalnya, atau kejadian yang terkemudian bagaimana siasatan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang belum juga menemui jawapan di sebalik beberapa kejanggalannya.

Kini satu lagi keanehan berlaku dan nampaknya ia semakin berkembang mekar, iaitu keghairahan ustaz, penceramah, pendakwah - atau yang seumpama dengannya - mahu bergocoh sesama sendiri.

Mentang-mentanglah ada wadah yang boleh dimanfaatkan dengan mudah dan- tidak terkekang oleh hampir apa saja. Mereka pun kata-mengata, sindir-menyindir, malah maki-memaki sesama sendiri.

Sesekali mereka pun menyentuh hal-hal dalam kain masing-masing.

Ada duit semua jadi

Ia menjadi lebih meriah kerana ada pihak ketiga yang menjadi tukang sorak. Ada juga kemungkinan tukang sorak itu sendiri tidaklah tahu hujung pangkal apa pun apa yang diperdebatkan oleh 'tuan guru' mereka kecuali sedikit saja.

Dalam bahasa mudah, mereka itu dijangkiti penyakit taasub. Dan mereka melakukan semua itu dengan perasaan seakan-akan sudah berada di pintu syurga.

Sehari dua ini ramai juga orang yang salah faham - atau difahamkan - bahawa wang adalah ibu kepada segala keperluan dan kebebasan manusia. Bagi generasi yang membesar bersama hiburan majalah Gila-Gila pada era 1980-an dulu tentu masing ingat akan watak Periwira Mat Gila yang 'lejen' itu.

Periwira Mat Gila adalah watak kisah zaman purba yang dihidupkan oleh almarhum Rejabhad. Dan daripada segala dialog yang ada, hanya satu yang paling dikenang: "Kalau ada duit semua boleh jadi."

Sama ada suka atau tidak, duit kelihatan begitu berkuasa sekarang.

Ia boleh membeli kemaafan, menyucikan kejahatan, meluruskan yang bengkok dan menjujurkan yang curang. Tidak ketinggalan, duit juga mendiamkan mulut-mulut yang selalu mengecam. Atau membuat seseorang hilang kewarasan.

Kerana itu jugalah muncul keanehan lain apabila ada pula orang yang mahukan hanya permohonan maaf selepas mengemukakan saman malu atau saman fitnah. Dia memilih permohonan maaf berbanding wang atau ganti rugi selepas difitnah atau dicemar namanya.

Permohonan maaf itu dianggap mampu membersihkan nama dan maruahnya selepas entah berapa ramai percaya dan melahap bulat-bulat fitnah yang disebarkan. Sesetengahnya mungkin disebarkan dari atas sejadah atau di kaki mimbar masjid.

Semua itulah - dan entah apa keanehan lain - yang membawa kita maju sepantas kilat mengalahkan bangsa-bangsa lain di dalam ini dunia. Dan dari sehari ke sehari kita kian maju sebagai bangsa yang disegani ramai.

Memang benar. Ramai orang di seluruh dunia segan mahu meniru kita.

Ketagih tunggang isu

Tetapi itu bukanlah kebimbangan utama. Yang lebih merisaukan ialah jika segala keanehan tersebut menghantar mesej yang salah kepada rakyat terbanyak bahawa tidak ada salahnya melakukan kesalahan.

Kalau berbuat baik pun, selalunya disalahkan dan dikalahkan. Kadang-kadang hukuman salah dan kalah itu dihenyakkan orang tertentu bersama dalil-dalil suci dari langit. Melawan pun kadang-kadang melelahkan kerana tidaklah mudah berhujah dengan orang yang menganggap hanya dia dan kawan-kawan yang dia suka saja layak mendapat syurga.

Itu pun, anehlah, kan? Dan seperti selalu kita memang gemar kisah-kisah yang aneh sebegitu. Seperti telur ayam yang berkedut-kedut itu.

Pun begitu perangai sesetengah orang yang gigih - dan ketagih - menunggang isu-isu tertentu dengan mengaitkannya dengan sentimen perkauman tidaklah aneh lagi buat kita sekarang.

Sementara itu menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat dan bergilir-gilir tidak lama lagi itu wajar juga diraikan. Kementerian Pendidikan Malaysia wajar dipuji dengan langkah berani mereka membenarkan pelajar tidak memakai pakaian seragam untuk ke sekolah.

Mudah-mudahan ia menjadi langkah awal untuk kita membebaskan diri daripada kebodohan memaksa anak-anak menjerut tenggorok masing-masing dengan tali leher di dalam cuaca yang selalu panas dan menjerihkan.

Harap-harap tidak ada guru besar, pengetua, pengerusi persatuan ibu bapa dan guru, pegawai pendidikan, nazir sekolah atau yang seumpamanya menjadi sudu yang berlebih-lebihan daripada kuah.

Sekolah adalah tempat yang sepatutnya mencerdaskan semua, bukan tempat menggayakan diri dengan tali leher yang entah apa-apa.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang masih mencatat pelbagai kejadian aneh di sekitar pusat kuasa negara.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.