Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

105 orang mati dalam tahanan sejak 2 tahun lalu

Menteri Dalam Neger, Hamzah Zainudin memaklumkan seramai 105 individu meninggal dunia semasa dalam tahanan di lokap polis, penjara dan pusat tahanan imigresen sejak tahun lalu.

Dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) di parlimen semalam, Hamzah berkata seramai 42 orang meninggal dunia ketika dalam tahanan bagi tahun 2021.

Dia juga menjelaskan mengenai sejumlah 21 kematian dalam penjara pada tahun 2020 dan 2021 tetapi tidak menghuraikannya bagi setiap tahun.

Kasthuriraani juga bertanya mengenai status pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam semua lokap polis dengan peruntukan yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2020.

Hamzah berkata, kemajuan pemasangan CCTV yang bermula pada 15 April lalu telah mencapai 40 peratus setakat ini.

"Projek pemasangan CCTV Lokap PDRM dijangka akan selesai pada akhir tahun ini," katanya.

Belanjawan 2020 meluluskan peruntukan RM50 juta untuk menambah baik prosedur dan kemudahan tahanan khususnya pemasangan CCTV di dalam lokap polis serta pintu masuk dan keluar imigresen.

Kematian Ganapathy

Ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Charles Santiago (PH-Klang), Hamzah mengesahkan polis telah melengkapkan siasatan mengenai kes kematian A Ganapathy.

"Merujuk kepada kes A. Ghanapathy, siasatan telah selesai dan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Selangor dengan cadangan inkues.

"Pada 12 Julai 2021, keputusan untuk diadakan inkues telah diterima. Susulan itu PDRM telah mendaftar permohonan inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam pada 30 Ogos 2021," katanya.

Hamzah bagaimanapun berkata siasatan masih dijalankan berhubung kematian S Sivabalan, S Surendran dan Umar Faruq Abdullah.

Sementara itu, Hamzah juga menjelaskan mengenai jumlah pesalah remaja di penjara dan pusat tahanan imigresen bagi menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai)

Katanya, berdasarkan kepada statistik Jabatan Penjara Malaysia, jumlah pesalah muda berumur 21 tahun ke bawah sehingga 25 Ogos 2021 adalah seramai 2,881 orang.

Daripada jumlah tersebut, 45 orang adalah banduan reman manakala 2,836 orang banduan sabitan.

"Manakala di Jabatan Imigresen Malaysia, terdapat seramai 1,490 orang tahanan muda di Depot Imigresen dan Depot Imigresen Sementara di seluruh negara sehingga 25 Ogos 2021," katanya.