Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

5.8 juta bakal pemilih diminta semak, sah rekod dengan SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) mulai 1 hingga 31 Okt ini untuk memberi peluang kepada 5.8 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan rekod mereka.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata dalam tempoh itu, warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih juga boleh membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.

“Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, mereka dinasihatkan supaya mengemas kini alamat kad pengenalan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya pada 31 Okt,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Urusan SPPA boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu menerusi aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my atau mengimbas Kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan di 604 tempat semakan SPPA di seluruh negara.

Antara tempat semakan tersebut ialah ibu pejabat atau pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos, pejabat daerah, pejabat tanah, majlis daerah, majlis perbandaran, dewan serbaguna, rukun tetangga dan pejabat penghulu.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi pejabat pilihan raya negeri, Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my.

- Bernama