Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Mahathir contoh warga emas memandu dengan baik'

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberi contoh Dr Mahathir Mohamad, 95, antara warga emas yang memandu secara berhati-hati di jalan raya.

Sebagai menjawab soalan tambahan dari Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Wee menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan tidak pernah memberi arahan untuk mensyaratkan warga emas 70 tahun mengembalikan semula lesen memandu mereka.

“Mengenai apa yang dicadangkan, MOT tak pernah bagi arahan untuk syaratkan warga emas lebih 70 tahun kembalikan lesen tak pernah.

“Macam Langkawi (Mahathir), dia memandu jauh lebih baik daripada orang yang memandu gila-gila bawa kereta di jalanraya.

“Ini tak boleh ada diskriminasi bagi mereka yang umur 70 tahun ke atas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Wee Ka Siong 

Terdahulu Syed Ibrahim bertanya mengenai apakah pandangan kerajaan langkah lain yang lebih tegas terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, serta membandingkannya dengan cadangan had umur lesen memandu terhadap warga emas.

Menurut ahli parlimen Ayer Hitam, 80 peratus kecuaian yang menyebabkan nahas jalanraya disebabkan oleh faktor manusia, 13 peratus disebabkan oleh kenderaan dan 7 peratus oleh persekitaran.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias mengesyorkan kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Azisman berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Dia berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata cadangan seorang pegawai kanan polis agar kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas merupakan pandangan peribadi.