Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kisah Yoke Ling - aktivis M'sia yang inspirasikan watak dalam Captain Planet

Captain Planet and the Planeteers merupakan animasi adiwira Amerika Syarikat terbitan Barbara Pyle dan Ted Turner. Kartun bersiri ini disiarkan dari 1990 ke 1996 merentasi enam musim dan lebih 100 episod televisyen:

"By your powers combined... I am Captain Planet!” (Dengan gabungan kuasa kamu semua, sayalah Kapten Planet)

Dalam animasi itu, Captain Planet akan turun ke bumi melalui seruan gabungan lima cincin berelemen ajaib untuk melawan penjahat-penjahat alam sekitar yang melakukan kemusnahan dan pencemaran di muka bumi.

Selain tema ekologi, kartun ini turut membawakan isu-isu sosial termasuk masalah penyalahgunaan dadah, HIV/ Aids dan buli.

Bagi Pengarah Eksekutif NGO Third World Network Chee Yoke Ling, semuanya bermula dengan pertemuan awal bersama pencipta rancangan kartun itu Barbara Pyle semasa sesi lobi antarabangsa .

Chee kemudian diabadikan menjadi watak orang Asia "Gi" yang bergabung dengan watak "planeteers" lain sebagai pengawal unsur utama air.

Gi - pengawal unsur air

Pun begitu, Chee memberitahu Malaysiakini hanya satu dekad kemudian ketika bertemu dengan Pyle di New York, barulah dia mengetahui peranannya dalam siri kartun popular itu.

"Saya sedang berjalan di New York dan tiba-tiba saya mendengar suara memanggil, 'Gi! Gi’ dan saya menoleh, dia Barbara Pyle! Wanita itu masih penuh bertenaga.

"Nama saya Chee, tetapi dia selalu memanggil saya Gi kerana dia tidak dapat menyebut bunyi 'ch'," katanya pada wawancara baru-baru ini.

“Saya berkata ‘senang dapat bertemu Barbara, apa khabar? ’Dalam perbualan kami, saya berkata,‘hei, tahniah ya ’, kerana saya tahu dia produser Captain Planet.

"Saya mengatakan bahawa siri ini adalah cara yang indah untuk menjelaskan mengapa kita perlu menyelamatkan planet ini. Saya mengatakan anak-anak saya juga menontonnya dan dia menjawab, 'adakah anda juga memberitahu mereka bahawa anda adalah inspirasi untuk watak Gi?

"Saya katakan saya tidak tahu itu dan dia berkata,'maksud anda, saya tidak pernah memberitahu anda?' Dan begitulah cara saya mendapat tahu," kata ibu kepada dua anak itu, yang kini berusia 60an.

Ketika bertemu Barbara, Chee sedang berada di ibu pejabat PBB New York pada tahun 2002 untuk mesyuarat persiapan menjelang Sidang Kemuncak Bumi Rio+10 yang dijadualkan berlangsung pada tahun itu di Johannesburg, Afrika Selatan.

Ini pertemuan susulan Sidang Kemuncak Bumi 1992 yang pertama di mana Chee dan wakil masyarakat sivil lain menyuarakan isu keadilan alam sekitar dan sosial serta berkumpul bersama para pemimpin dunia di Rio De Janeiro, Brazil.

Semasa mesyuarat persiapan untuk sidang kemuncak tahun 1992, Chee berkata dia pertama kali ditemuramah oleh Pyle (ketika itu dengan CNN) bersama aktivis alam sekitar dari seluruh dunia.

Hasil temuramah ini kemudian mengilhami penciptaan watak-watak dari empat "planet" lain - Kwame dari Afrika (Bumi) , Wheeler dari New York (Api), Linka dari Soviet Union (Angin) dan Ma-Ti dari Brazil (Hati).

“Watak pemegang cincin unsur kuasa bumi (planeteers) ini adalah lima anak muda yang sebenarnya dari lima benua dunia.

"Rancangan itu menunjukkan bagaimana planet ini dihancurkan oleh ketamakan, oleh syarikat besar yang mencemarkan dengan sisa toksik," kata Chee.

Tidak seperti penyelesaian mesra alam yang lebih sederhana yang disatukan dalam setiap episod 30 minit animasi itu, jelas Chee pertempuran kehidupan nyata untuk kelestarian alam sering kali melibatkan usaha jangka panjang.

Apalagi katanya, dengan pelbagai isu daripada menangani tumpahan minyak, pencemaran udara, penambakan dan penebangan hutan yang menarik perhatian dunia era 1990an dan tetap masih menjadi masalah sehingga ke hari ini.

Banyak isu seperti ini juga memerlukan komitmen bersama oleh kerjaan di peringkat global, yang sering difasilitasi oleh PBB, katanya lagi.

Chee mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang antarabangsa, hari-hari aktivisme sosial Chee bermula pada tahun-tahun pengajian ijazah sarjana mudanya di Universiti Malaya (UM), ketika pertama kali diperkenalkan kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Chee, yang membesar di Pulau Pinang, melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dengan mendapat biasiswa di United Kingdom sebelum kembali mengajar di UM selama lima tahun.

Dia meninggalkan dunia akademik untuk menceburi aktivisme alam sekitar sepenuh masa bersama Third World Network - ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai "anak CAP" yang memfokuskan penyelidikan dan advokasi dasar antarabangsa.

Kerja-kerjanya dengan Third World Network membawa Chee ke New York dan kemudian ke China di mana dia menghabiskan 10 tahun di pejabat NGO itu di Beijing bersama suaminya, seorang wartawan dan dua anak mereka.

Aktivisme bersama Family Frontiers

Sejak kembali ke Malaysia pada tahun 2017, Chee turut terlibat dengan kumpulan NGO hak wanita Family Frontiers yang memperjuangkan hak untuk mendapat kewarganegaraan terhadap anak-anak mereka yang lahir di luar negara oleh bapa dengan kerakyatan asing.

Chee turut berkongsi harapan keluarga yang menunggu keputusan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

"Saya secara peribadi mempunyai pengalaman itu. Saya berjumpa dengan suami saya ketika kami sama-sama membuat (pengajian) master kami di England.

"Saya adalah salah seorang anggota Family Frontiers dan kami ditubuhkan untuk benar-benar menyokong keluarga, terutama yang kami sebut sebagai keluarga dua-nasional. Ini adalah keluarga yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia.

"Ketika keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan, anak perempuan saya meraikannya. Dia memakai salah satu pakaian batiknya," katanya lagi.

Pada 9 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun pada 13 Sept lepas, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

[Baca laporan penuh]


Klik untuk siri terdahulu di bawah:

Separuh Melayu separuh Cina, hasrat Jamaliah rapatkan jurang kaum

Yuna impikan dunia lebih baik, sembuh dari duka Covid-19

Douglas Lim - dari pentas 'stand-up' ke video parodi

Iklim dalam krisis: Ili Nadiah tak boleh diam

Kisah seniman dan sepohon avokado

Shaq Koyok: Tiada khayalan, hanya Orang Asli dan cerita sebenar

Menanam harapan di Bangsar dan Bangladesh