Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Permohonan k'jaan tangguh keputusan isu kerakyatan didengar 15 Sept

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 15 November untuk mendengar permohonan kerajaan bagi menangguhkan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Peguam Joshua Andran mengesahkan bahawa mahkamah petang ini menetapkan tarikh perbicaraan permohonan penangguhan itu sementara menunggu rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.

"Perbicaraan diadakan pada 15 November," kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir membenarkan saman yang difailkan Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia itu pada 18 Disember tahun lalu.

Kerajaan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu pada 9 September yang memutuskan bahawa bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu dan bapa dari Malaysia secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Kerajaan merupakan satu-satunya defendan dalam kes berkenaan.

Akhtar dalam penghakimannya memutuskan bahawa wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing mempunyai hak yang sama dengan lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing, untuk mendapat hak kewarganegaraan ke atas anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Hakim itu berkata, perkara ini selaras dengan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Akhtar juga memutuskan bahawa semua undang-undang berkenaan melarang diskriminasi berdasarkan jantina dalam hal pemberian kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat pada 22 September lalu berkata kerajaan mengemukakan rayuan dan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu perlembagaan dipinda.

Dia dilaporkan berkata, pindaan perlembagaan akan memudahkan ibu-ibu Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk melahirkan anak di luar negara.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil keputusan untuk merayu dan memohon stay of execution (iaitu penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Suriani Kempe dan enam lagi - lawan - kerajaan Malaysia) bagi mengelakkan contempt of court (hina mahkamah) dan pada masa yang sama supaya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan," katanya.