Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Buat apalah ‘Cikgu’ nak kacau pemandu tua?

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias mahu had dan sekat orang tua memandu. Sesiapa pun yang masih belum pencen perkhidmatan awam tentulah lebih muda daripada saya walaupun kalau ikut warna misai Tuan Azisman kita ini tidaklah muda sangat.

Tua tak tua pun saya andaikan yang Tuan Azisman ini belajar bawa kereta selepas zaman signal tangan. Zaman saya belajar untuk dapat lesen memandu, kita masih guna signal tangan, kereta bergear manual dan tidak ada pendingin udara. Di simpang jalan masih ada tanda "stop-look-go". Lampu trafik tak banyak. Yang banyak bulatan. Yang masyhur adalah Bulatan Edinburgh.

Saya gelar Tuan Azisman Tuan bukan sebagai sindiran. Kita yang pernah jadi pemberita jenayah bahasakan anggota polis, tak kira mata-mata, inspektor atau pesuruhjaya Tuan. Ada juga yang bahasakan "Cikgu".

Berbalik kepada signal tangan, untuk pusing kanan kita keluarkan tangan kanan dengan tapak tangan menghala ke hadapan. Untuk pusing kiri, keluarkan tangan kanan dan putarkan ke hadapan. Untuk perlahan keluarkan tangan kanan, gerakkan tapak tangan turun dan naik. Untuk berhenti, keluarkan tangan kanan dan tegakkan siku dengan tapak tangan ditutup dan menghala ke hadapan. Jangan silap buat signal penumbuk takut kena sebiji di dahi!

Pemandu daripada generasi saya tidak memandu macam lipas kudung seperti pemandu muda sekarang. Ini adalah kerana nombor satu, kereta zaman dulu tak laju, nombor dua kita hanya mampu pakai kereta "secondhand" dan nombor tiga jalan raya tidak lebar dan lurus macam sekarang. Pemandu muda sekarang banyak yang kurang ajar. Pusing pun tak bagi signal.

Anak, cucu saya kerap tanya pasal apa orang tua pandu kereta laju (fast cars) dengan perlahan? Saya jawab, sebab mereka pandu perlahan dan dengan sopanlah mereka hidup sampai tua dan mampu miliki kereta laju. Yang pandu macam lipas kudung, banyak yang mati dalam kemalangan masa muda lagi.

Maaf cakaplah kalau saya kata, buat apalah Tuan Azisman nak kacau pemandu tua ni? Kebanyakan mereka tak pandu jauh atau laju pun. Mereka pandu "lokal" untuk ke kedai kopi jumpa geng pencen, ke klinik dan farmasi, ke masjid dan gereja. Sekali sekala ke kedai nombor ekor dan kedai gunting rambut.

Lagi elok kalau Tuan Azisman bagi lebih perhatian kepada pemandu remaja sebab mereka nak hidup lama lagi, pemandu mabuk, pelumba haram, geng rempit, pemandu tanpa lesen, kereta tanpa cukai jalan, kereta curi dan macam-macam lagi.

Saya umur 74 tahun. Dah memandu dekat 50 tahun. Ada la sekali dua "accident" ringan kepek dan calar sana sini. Sekali kena denda langgar bontot. Yang lain tu pasal melebihi had laju dan silap parking. Yang saya tengok tak hormat undang-undang jalan raya ni penunggang motosikal, pemandu muda dan pemandu kenderaan berat. "Demon" jalan raya sekarang ada penghantar makanan. Mereka inilah yang patut jadi sasaran bukan orang tua yang memandu ke surau dan gereja.


A KADIR JASIN ialah tokoh wartawan. Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya dengan tajuk “Tua tak semestinya bahaya”.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.