Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Izin rentas negeri dijangka dimuktamad 3 minggu lagi

Kebenaran untuk merentas negeri dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh tiga minggu lagi selepas negara mencapai kadar 90 peratus populasi dewasa yang lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata berikutan itu beberapa langkah untuk menyegerakan vaksinasi populasi dewasa akan diambil dalam masa terdekat.

Katanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap sekali gus mencapai sasaran 90 peratus dalam tempoh itu.

Kata Hishammuddin antara tindakan segera yang akan dilaksana oleh ATM ialah mengatur gerak lebih banyak pasukan vaksinasi perubatan medan di kawasan pedalaman selain memperluas program vaksinasi pandu lalu yang dilaksana oleh Kementerian Pertahanan kepada orang awam.

"Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat. Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu, kita harap dapat dijayakan dalam tempoh tiga minggu ini.

"Sebelum ia diumumkan, banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

"SOP rentas negeri kerajaan akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob minggu depan," katanya selepas meninjau pusat pemberian vaksin pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja Kem Ulu Tiram di Johor Bahru hari ini.

Semalam, Ismail Sabri membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Katanya setakat 22 Sept lalu sebanyak 81 peratus populasi dewasa melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Hishammuddin juga berkata disiplin orang ramai akan menjadi elemen paling penting apabila rentas negeri dibenarkan kerana adalah mustahil untuk kerajaan memantau dan melaksanakan SOP menjaga setiap rakyat yang diberi kebenaran merentas negeri.

"Sebab itu, disiplin orang ramai amat penting apabila menikmati kelonggaran yang bakal diumumkan. Kita harap mereka patuh kepada SOP yang ditentukan nanti," katanya.

- Bernama