Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pembaharuan perlu untuk keluarkan GLC, yayasan dari 'kekaburan'

Seorang ahli ekonomi hari ini menggesa pembaharuan dilaksanakan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan yayasan di negara ini yang didakwanya memiliki struktur pengurusan wang yang besar dan disalahgunakan secara meluas oleh ahli politik untuk kepentingan peribadi mereka.

Bercakap di satu forum dalam talian, Edmund Terence Gomez memberi gambaran bahawa GLC dan yayasan sebagai dua dunia yang "wujud dalam kekaburan" apabila wang entiti terbabit disalurkan kepada ahli politik tanpa sebarang perlu dipertanggungjawabkan.

Katanya, perbicaraan kes rasuah terhadap ahli politik tertentu mendedahkan bagaimana ada yayasan disalah guna dan ia tidak diketahui oleh orang ramai sebelum ini.

"Jika anda lihat kes-kes yang dibicarakan di mahkamah, dalam usaha menangani pendedahan yang dibuat, mereka berkata bahawa ia merupakan sumbangan politik.

"Sumbangan politik untuk siapa? Dan bagaimana ia disalah guna atau digunakan? Mengapa tidak ada undang-undang mengenai hal ini?," katanya.

Lebih daripada itu kata Gomez di sebalik apa yang didedahkan tiada ahli politik yang bersuara mengenai keperluan pembaharuan dalam pembiayaan politik di negara ini.

Dia bercakap dalam forum bertajuk 'Politik Wang: Pembiayaan Pilihan Raya Bebas dan Adil' anjuran Transparency International Malaysia.

Gomez yang merupakan bekas profesor ekonomi politik di Universiti Malaya berkata skandal 1MDB menarik perhatian ramai mengenai isu bagaimana sesebuah GLC disalahgunakan.

"Pada 2020 ketika pandemik Covid-19 menular, jelas dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa ada keperluan untuk menggunakan GLC ini dengan berkesan dan mereka melakukannya.

"Mereka menggunakan GLC dalam beberapa cara untuk membantu, (dengan) moratorium bank, kadar pemotongan bekalan elektrik dan sebagainya.

"Tetapi semasa melakukan itu, kita juga melihat GLC digunakan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan sokongan dengan memberikan janji kepada ahli politik bagi memastikan dia kekal sebagai perdana menteri.

"Sekali lagi, ini adalah penyalahgunaan GLC," katanya.

Tambah Gomez, masalah itu tidak hanya wujud di peringkat persekutuan, sebaliknya di negeri dengan adanya syarikat menteri besar diperbadankan (MBI) dan ketua menteri diperbadankan (CMI) yang tidak bebas daripada skandal.

"Apa yang kita lihat di sini ialah terdapat tuduhan penyalahgunaan dana yang serius di GLC ini, termasuk MBI atau CMI.

"Ini adalah masalah yang berlaku secara berleluasa dan menunjukkan ada nya 'dunia gelap' yang menjadi asal kepada wang tersebut," katanya.

[Baca berita penuh]