Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majoriti kematian di Lembah Klang belum divaksin

Sejak 11 September, Lembah Klang menyaksikan kadar vaksinasi populasi dewasa yang meragukan iaitu melebihi 100 peratus, ekoran masalah pelaporan dalam data bancian.

Dengan kadar vaksinasi setinggi itu, timbul tanggapan bahawa kematian yang masih berlaku di Lembah Klang melibatkan penduduk yang telah divaksin sepenuhnya.

Pemberian vaksin kepada golongan remaja baru saja bermula, manakala kanak-kanak belum menerima suntikan berkenaan, namun kumpulan umur ini secara umumnya kurang terdedah kepada kesan buruk Covid-19.

Bagaimanapun, semakan lebih lanjut terhadap rekod kematian akibat Covid-19 menunjukkan bahawa individu belum divaksin masih merupakan majoriti daripada kes kematian Covid-19 di Lembah Klang, meskipun golongan ini makin berkurangan dan merupakan minoriti.

Malaysiakini menekuni data kematian Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kematian yang berlaku dari 11 hingga 24 September, yang dilaporkan setakat semalam.

Daripada 272 kematian dalam tempoh ini, 142 (52.2 peratus) adalah kes belum divaksin.

Bagi rekod yang mempunyai data umur, umur si mati adalah antara 18 hingga 96 tahun dengan umur median 62 tahun. Terdapat 71 orang yang berumur 60 tahun dan ke atas, serta 50 orang yang berumur 60 tahun dan ke bawah.

Sebagai tambahan, terdapat 21 rekod (14.8 peratus) yang tidak mempunyai data umur dan hanya direkodkan sebagai “-1”.

Kebanyakan penduduk yang belum divaksin yang meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh ini merupakan warga Malaysia (109 orang atau 76.8 peratus), dan ramai antaranya yang mempunyai komorbiditi (110 orang atau 77.5 peratus). Hampir sesuku daripadanya adalah warga asing, sebahagian besarnya mungkin pekerja asing.

Sementara itu, 47 kematian (17.3 peratus) dalam tempoh itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 83 kematian (30.5 peratus) telah divaksin sepenuhnya.

Tolak vaksin atas pilihan sendiri

Data kematian Covid-19 itu disiarkan di repositori data Github KKM dan dikemasikini setiap hari. Analisis ini menggunakan data yang disiarkan pada jam 1.05 pagi tadi.

Ramai individu yang tidak divaksin dan menerima kesan buruk akibat jabgkitan Covid-19 di Lembah Klang - turut dipaparkan pada perkongsian di alam maya.

Pakar anestesiologi dari Hospital Kuala Lumpur, Hana Hadzrami berkongsi di Facebook pada Khamis lalu bahawa semua pesakit di unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 adalah golongan antivaksin dan keluarga mereka.

Melainkan seorang yang hanya sempat menerima satu dos vaksin yang juga satu-satunya pesakit yang tidak memerlukan bantuan mesin pernafasan di situ.

Katanya, majoriti pesakit menolak vaksin atas pilihan mereka sendiri.

“Kami tiada masalah dengan orang yang ada pilihan sendiri. Jika melibatkan warna pakaian kegemaran. Atau pilihan jenis kenderaan. Atau pilihan makanan. Suka hatilah nak pilih apa pun. Asal tak mengganggu sesiapa.

“Ini ibarat orang yang pilih nak terjun lombong berbanding mandi di rumah. Masalahnya dia tak reti berenang dan tak mahu guna pelampung. Tapi dia demand semua orang standby untuk selamatkan dia jikalau dia lemas.

“Begitulah ibaratnya.

“Jadi, bila agaknya servis hospital boleh diberikan kepada kes bukan Covid-19, jika masih ramai nak memperjuangkan ‘pilihan sendiri’ tolak vaksin dan kemudiannya memenuhkan hospital?” soalnya.

Sebelum ini, satu kajian KKM menemukan bahawa vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) mengurangkan risiko kemasukan ICU sebanyak 83 peratus, dan risiko kematian pula sebanyak 88 peratus.

Vaksinasi yang belum penuh pula, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU sebanyak 38 peratus dan risiko kematian sebanyak 49 peratus.

Para pengkaji di Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) kementerian itu menganggarkan bahawa vaksinasi penuh mencegah kemasukan ICU bagi setiap 67 orang yang dijangkiti Covid-19, dan mencegah satu kematian bagi setiap 97 orang yang dijangkiti.

Ini merupakan tambahan kepada 88 peratus pengurangan risiko sedia ada daripada dijangkiti.

Malaysia mencatatkan purata 15,275 kes setiap hari dalam tujuh hari lepas, meskipun bilangan itu melihatkan trend penurunan selepas mencecah kemuncaknya bulan lalu.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), kadar vaksinasi dalam kalangan orang dewasa di Lembah Klang pada 11 September adalah 100.6 peratus, dan sejak itu meningkat kepada 108.3 peratus.

Angka itu hadir dengan penjelasan bahawa jumlah yang melebihi 100 peratus itu adalah kerana “statistik kependudukan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia tidak mengambil kira perubahan populasi sejak Banci akhir, penduduk tanpa dokumen serta vaksinasi yang diberi kepada penduduk tanpa dokumen dan golongan bukan pemastautin”.

Banci terakhir dijalankan pada 2010, dan banci seterusnya sepatutnya pada 2020. Bagaimanapun, banci 2020 tergendala akibat wabak Covid-19 dan usaha untuk menjalankan banci secara dalam talian pula menerima maklum balas yang tidak memberangsangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa bekalan vaksin mencukupi untuk meliputi jumlah penduduk di bawah anggaran.

[Baca laporan asal]