Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suhakam ingatkan majikan tak hukum pekerja enggan divaksin

Suruhajaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengingatkan golongan majikan agar tidak mengambil tindakan termasuk denda kepada pekerja yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Ini selepas suruhanjaya itu menerima sejumlah aduan berkenaan dakwaan diskriminasi yang dikenakan kepada mereka yang masih tidak divaksinasi, termasuk tidak dibenarkan kembali bekerja atau terpaksa menanggung sendiri kos ujian calitan.

"Suhakam mengingatkan majikan untuk tidak menetapkan keperluan vaksinasi mandatori kepada pekerja atau mengenakan denda kepada pekerja yang enggan divaksinasi, sebaliknya majikan boleh menawarkan insentif bagi menggalakkan pekerja untuk divaksinasi.

"Suhakam menyeru Kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu-isu ini yang memerlukan pendekatan yang seimbang antara keutamaan kesihatan awam dan hak untuk dilayan secara adil tanpa diskriminasi.

Selain itu, Suhakam berkata kerajaan perlu melihat kepada kemungkinan untuk meluaskan peranan dan fungsi Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) dengan memanjangkan bantuan kepada pekerja yang mempunyai pertikaian berkaitan isu Covid-19, termasuk status vaksinasi, dengan majikan mereka

Sementara itu, Suhakam berkata kerajaan atau pemilik premis boleh mengenakan sekatan kepada mereka yang masih belum lengkap divaksinasi atau memilih untuk tidak divaksinasi.

"Orang ramai perlu menyedari bahawa tujuan utama langkah-langkah ini adalah untuk melindungi manusia dan kesihatan awam; dan sebagai insentif kepada mereka yang telah mendapatkan vaksin.

"Bagaimanapun, sekatan tersebut tidak seharusnya menghalang sesiapa jua daripada menikmati keperluan hak asasi mereka termasuklah antaranya akses kepada pendidikan, makanan dan penjagaan kesihatan.

"Ia hanya boleh dikuatkuasakan sebagai pendekatan sementara sehingga imuniti kelompok dapat dicapai atau apabila pandemik telah beralih ke fasa endemik," jelasnya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan beberapa kelonggaran bagi individu yang telah menerima vaksin sepenuhnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk makan di restoran.

Bagaimanapun sekatan dikenakan terhadap mereka yang tidak atau enggan menerima vaksin termasuk para guru.

Setakat semalam, 82.5 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima vaksin sepenuhnya, menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).