Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rimba Komuniti Shah Alam bukan atas hutan simpan

Tanah Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) bukan lagi terletak dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK), kata exco Selangor, Hee Loy Sian.

Exco pelancongan, alam Sekitar dan hal ehwal Orang Asli itu menjelaskan hal berkenaan selepas melakukan semakan berhubung perkara itu.

“Kerajaan negeri Selangor ingin menjelaskan mengenai isu projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan SACF yang sedang ditularkan oleh beberapa pihak NGO dan orang awam melalui media massa mutakhir ini.

“Berdasarkan semakan, didapati kawasan projek pembangunan ini berlaku di luar kawasan HSK,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam draf rancangan tempatan terbaru, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan sebidang tanah kawawan rimba komuniti itu untuk tanah perkuburan dan sebidang lagi untuk pembangunan campuran.

Ia juga mahu membina jalan merentasi hutan berkenaan.

Penduduk tempatan dan kumpulan alam sekitar membantah rancangan berkenaan atas sebab alam sekitar, kemasyarakatan dan perundangan.

SACF meliputi sekitar 174 hektar, sama saiz dengan kira-kira 242 padang bola.

Rimba komuniti itu jenis hutan dipterokarpa yang kaya dengan kepelbagaianbio, termasuk spesies terancam seperti ungka tangan putih. 

Ia turut membentuk koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Bukit Cherakah di utara dengan Taman Botani Negara Shah Alam di selatan.

Ia turut menjadi tempat pendakian yang popular di kalangan warga bandar.

Penyahwartaan pada 2006

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memiliki sebidang tanah SACF manakala selebihnya dimiliki oleh firma milik kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

NGO SACF Society sebelum ini membangkitkan kemungkinan hutan itu masih lagi sebahagian Hutan Simpan Bukit Cherakah memandangkan dikatakan tiadanya notis warta terhadap keputusan penyahwartaaan berkenaan.

Seksyen 13 Akta Perhutanan Negara 1984 menyatakan pihak berkuasa negeri hendaklah memberitahu dalam warta apa-apa pengeluaran kawasan tanah daripada HSK.

Pun begitu, Hee dalam kenyataannya menafikan dakwaan NGO itu tetapi tidak menjelaskan jika terdapat notis warta pengeluaran hutan itu atau tidak.

“Kawasan projek pembangunan jalan raya dan perumahan yang ditularkan ini adalah merupakan sebahagian daripada kawasan yang terlibat dengan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Ia telah dinyahwartakan bagi tujuan pemberimilikan oleh kerajaan negeri pada tahun 2006 melalui PW1443,” katanya.

PW merujuk kepada "pelan warta", peta kawasan yang dikeluarkan dari rizab hutan simpan kekal.

Selangor ditadbir kerajaan BN bawah menteri besar Mohamad Khir Toyo dari 2000 hingga 2008.

Tiada penggantian hutan

Mengulas lanjut, Hee berkata tiada hutan diwartakan untuk menggantikan bahagian Hutan Simpan Bukit Cherakah yang telah dinyahwartakan itu.

Katanya, ini kerana penyahwartaan berlaku sebelum amalan proses penggantian menjadi undang-undang di negeri berkenaan.

“Ini adalah selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada tahun 2011 iaitu berkaitan keperluan penyiasatan awam bagi cadangan penyahwartaan HSK.

“Walau bagaimanapun, penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah ini telah berlaku sebelum pindaan Enakmen APN 1985 ini iaitu pada tahun 2006.

“Justeru, penggantian kawasan HSK secara serentak didapati tidak diamalkan oleh kerajaan negeri pada masa tersebut,” jelasnya lagi.

Hee berkata Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal dengan keluasan 1,299 hektar, termasuk Taman Botani Negara Shah Alam, adalah “masih mencukupi” bagi tujuan riadah buat masyarakat.

Secara umum, katanya, kerajaan negeri akan memastikan segala aktiviti pembangunan di sekitar kawasan tersebut mematuhi prosedur dan peraturan sedia ada, seperti keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di bawah Perintah Alam Sekeliling 2015 dan Kelulusan Merancang (KM) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Hee juga merupakan Adun Kajang dari PKR.

Rimba Komuniti Shah Alam tidak diiktiraf secara rasmi sebagai laluan mendaki oleh MBSA atau mana-mana pihak berkuasa.

Julukan nama “rimba komuniti” diberi memandangkan hutan itu ditemukan, dipeta dan kini diuruskan oleh penduduk tempatan sendiri.