Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

K'jaan kaji suntikan Sinovac, pastikan semua vaksin Covid-19 berkesan

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa semua vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sangat berkesan untuk mencegah kematian dan penyakit teruk akibat jangkitan berkenaan.

Namun, katanya, KKM melakukan kajian lebih lanjut mengenai vaksin Sinovac, termasuk kemungkinan memberikan suntikan penggalak bagi penerima.

Ini selepas kementerian mengumumkan hasil kajiannya semalam, yang mendapati vaksinasi penuh mengurangkan risiko jangkitan sebanyak 88 peratus.

Di kalangan individu yang dijangkiti, ia mengurangkan risiko kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 83 peratus dan kematian sebanyak 88 peratus, berbanding dengan individu yang tidak divaksinasi.

Bagaimanapun, prestasi vaksin Sinovac - walaupun tinggi - ketinggalan berbanding vaksin dari Pfizer dan AstraZeneca.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Khairy berkata perkara itu perlu dikaji lebih teliti untuk menentukan sama ada perbezaan itu disebabkan oleh vaksin itu sendiri, atau faktor lain.

"Kita kena buat kajian yang lebih mendalam untuk menentukan sama ada ia adalah disebabkan oleh jenis vaksin ataupun perkara-perkara lain seperti maklumat berkenaan dengan patient (pesakit) tersebut, ataupun waktu mereka dijangkiti sama ada penularan varian of concern dan sebagainya.

"Jadi, analisis yang lebih luas ini sedang dilakukan sekiranya didapati bahawa antara sebab adalah jenis vaksin, maka kita akan mengambil kira perkara tersebut dalam pemberian dos penggalak.

"Tapi buat masa ini, saya rasa yang penting adalah semua vaksin dalam portfolio Malaysia berkesan dan telah mengurangkan kematian dan kemasukan ICU. Itu adalah perkara yang paling penting, ”katanya.

Perbezaan antara vaksin

Semalam, Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan Dr Kalaiarasu Peariasamy memberitahu taklimat kepada media bahawa vaksin AstraZeneca mengurangkan risiko kemasukan ICU sebanyak 96 peratus, Pfizer 92 peratus dan Sinovac 77 peratus.

Berkaitan kematian akibat Covid-19, vaksinasi penuh dengan vaksin AstraZeneca mengurangkan risiko sebanyak 96 peratus, Pfizer sebanyak 93 peratus, dan Sinovac sebanyak 84 peratus.

Bagaimanapun, angka itu memiliki selang keyakinan (confidence interval) yang bertindih dengan AstraZeneca - bermakna perbezaan antara dua jenis vaksin itu kecil.

Sebagai tambahan, Kalaiarasu berkata vaksin AstraZeneca terutama diberikan kepada individu pada usia dewasa, manakala vaksin Pfizer dan Sinovac diberikan kepada populasi yang lebih rentan.

Penilaian Dunia Nyata (Real-world Evaluation) Vaksin Covid-19 di bawah kajian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia (Recovam) dilakukan pada kes yang direkodkan dari 1 April hingga 12 September.

Ini bertepatan dengan tempoh di mana varian Beta yang sangat tahan vaksin di Malaysia kemudiannya dikuasai oleh varian Delta yang sangat mudah dijangkiti pada bulan Julai lalu meskipun kurang tahan terhadap imuniti yang disebabkan oleh vaksin.

Ini bererti kebanyakan kes dalam kajian ini adalah kes varian Delta, dengan melihat kepada lonjakan jumlah kes setelah kedatangan varian berkenaan.

'Dos ketiga' vs dos penggalak'

Sementara itu, Khairy memberitahu sidang media bahawa garis panduan klinikal untuk pengambilan suntikan penggalak dan dos ketiga masih disusun, yang dirancang dilaksanakan dalam bulan Oktober.

Dia juga menjelaskan perbezaan antara "dos ketiga" dan "dos penggalak".

Khairy menjelaskan "dos ketiga" merujuk kepada dos tambahan vaksin yang diberikan kepada individu di mana dua dos vaksin tidak menckupi untuk mendapatkan tindak balas imunisasi bagi melindungi diri daripada Covid-19.

Manakala "dos penggalak, merujuk kepada dos vaksin tambahan yang diberikan kepada individu yang mana dua dos sudah cukup dari segi respons imunisasi namun dalam beberapa bulan, ia mulai menurun. 

Katanya, dos penggalak akan diberi sebagai perangsang kepada sistem imunisasi supaya ia lebih berkesan terhadap Covid-19.

Khairy berkata, Pfizer telah membuat permohonan kepada Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi ketiga dan dos penggalak dan akan diluluskan secepat mungkin.

"Sekarang ini kita sedang membangunkan garis panduan berkenaan dengan perlaksanaan pemberian dos ketiga dan juga dos penggalak yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat JKJAV yang akan datang.

"Saya yakin bahawa kita akan mula memberi dos yang ketiga dahulu, selepas itu dos penggalak bermula daripada bulan depan apabila kita sudah dapat pandangan dan juga panduan clinical guidelines daripada pakar, dan yang ketiga, kita telah buat pendaftaran bersama dengan NPRA," katanya.

Katanya lagi, KKM masih mengkaji kemungkinan memberikan suntikan penggalak bagi vaksin yang berbeza daripada yang digunakan bagi suntikan pertama.

[Baca berita penuh]