Shahrir: Kenapa ada jarak masa untuk kaji cadangan rehatkan bos SPRM?
Tokoh veteran Umno Shahrir Samad mempersoalkan mengapa ada jarak masa bagi mendapatkan keputusan perdana menteri sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki wajar direhatkan atau tidak.
Ia berhubung siasatan ke atas tiga pegawai kanan agensi antirasuah itu dalam kes kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta) dimiliki bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.
Kata Shahrir, kes tersebut bukanlah perkara kecil, sebaliknya melibatkan keyakinan awam terhadap SPRM.
“Dari segi urus tadbir yang baik (good governance) ia menimbulkan tanda tanya mengapa adanya tempoh antara masa isu itu mula terbuka dengan masa mendapatkan keputusan perdana menteri sama ada harus direhatkan ketua pesuruhjaya SPRM atau tidak.
“Ini bukan perkara kecil. Ia melibatkan keyakinan awam (public confidence). Ia tidak wajar dilengahkan,” katanya membangkitkan isu itu di Facebook.
Bekas ahli pasrlimen Johor Bahru itu berkata demikian sebagai merujuk jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat semalam.
Dalam jawapannya, Wan Junaidi mempertahankan tindakan SPRM menyiasat sendiri pegawainya dalam kes berkenaan, meskipun dipertikaikan sesetengah pihak memandangkan ia merupakan kes kecurian yang bukan terletak di bawah bidang kuasa mereka.
Kenyataan selepas tamat reman
Wan Junaidi turut menolak gesaan agar Azam perlu bercuti sementara siasatan dilakukan, namun, berkata akan membangkitkan perkara itu termasuk kebimbangan disuarakan ahli-ahli parlimen kepada Ismail Sabri Yaakob.
SPRM pada 20 Sept mengesahkan menahan tiga pegawai kanannya dan reman dari 14 hingga 19 Sept. Pengesahan itu dibuat beberapa jam selepas Bukit Aman berkata mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai kes berkenaan yang sebelum itu tular di media sosial.
Selain mengundang kritikan kerana kes itu disiasat sendiri oleh SPRM, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) turut menggesa agar Azam direhatkan sementara waktu sementara siasatan terhadap tiga pegawai kanannya dijalankan.
Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah membabitkan RM50.4 juta milik kerajaan. SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.
Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dalam perbicaraan kes pada April tahun ini.
Namun, dalam satu laporan tular, dikatakan ketika Hasanah berusaha mendapatkan wangnya, dia mendapati hanya sebahagian wang yang tertinggal dan selebihnya diganti dengan wang kertas palsu.
“Pegawai-pegawai SPRM yang didakwa terlibat dikenakan reman pada 14 September, iaitu 10 hari dulu. Kenyataan SPRM dikeluarkan selepas tempoh reman itu berakhir pada 19 September.
“Ikut cakap menteri di Parlimen, laporan polis dibuat hanya selepas ahli parlimen DAP menimbulkan perkara ini dalam perbahasan terhadap titah diraja,” kata Shahrir lagi dalam hantarannya itu.
Tambahnya, kes tersebut tidak boleh dibiarkan sehingga mengundang prasangka kurang baik terhadap kerajaan dan SPRM kerana pihak berkuasa kelihatan seolah-olah belum memutuskan bagaimana ia harus diurus.
Kes itu, tambah Shahrir, harus dikendalikan secara telus dan segera, lebih-lebih lagi melibatkan jumlah wang yang didakwa dipalsukan begitu banyak bagi menutup kecurian wang tulen yang menjadi bukti kes dalam kes Hasanah.
“Ini soal integriti dan urus tadbir baik.
“Dan kemana pergi duit itu semua? (Sama ada) yang tulen dan yang palsu, banyak tu!
“Where is the money? Follow the money!” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai