Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKPD di satu lokaliti di Perak, Sabah mulai esok dan Jumaat - MKN

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Orang Asli Gangai, di Muallim, Perak mulai esok hingga 6 Okt dan di Kampung Rompon di Tambunan, Sabah mulai 24 Sept hingga 7 Okt.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad menerusi kenyataannya di laman Facebook, berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

Beliau juga berkata lapan lokaliti PKPD iaitu masing-masing empat di Pahang dan Sabah ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, manakala PKPD Taman Samudera di Manjung, Perak ditamatkan hari ini, sehari lebih awal.

PKPD tamat di Pahang membabitkan Kampung Batu 1 Jalan Mentakab di Temerloh, Felda Keratong 8 (Rompin) dan dua lokaliti di Jerantut iaitu Kampung Orang Asli Sungai Kiol dan Kampung Orang Asli Tekeh serta Felda Sungai Tekam.

Di Sabah, PKPD tamat melibatkan Kampung Lohan Ulu di Ranau, Kampung Pengelat Kecil (Papar) serta Kampung Ulu dan Kampung Pasir Putih di Putatan.

- Bernama