Kapasiti jemaah solat Jumaat, lima waktu di S'gor ditambah - Exco
Kapasiti jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam ditambah kepada 1,000 orang manakala solat fardu lima waktu pula 500.
Kapasiti jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam ditambah kepada 1,000 orang manakala solat fardu lima waktu pula 500 orang berkuat kuasa hari ini, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya 'Zawawi Mughni', beliau memaklumkan ketetapan baru itu turut membenarkan 500 orang jemaah untuk solat Jumaat dan 300 orang jemaah untuk Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam; Masjid Raja Fi Sabilillah Cyberjaya, Sepang dan masjid institusi.
Zawawi berkata bagi masjid pengurusan, bilangan jemaah untuk solat Jumaat sebanyak 400 orang dan 300 orang untuk solat fardu; masjid kariah (350 jemaah solat Jumaat dan 200 solat fardu) dan surau kebenaran solat (250 jemaah solat Jumaat dan 200 jemaah solat fardu).
“Bagi surau kariah dan musolla hanya dibenarkan 100 jemaah untuk solat lima waktu dan ketetapan jumlah jemaah baru ini termasuk bilangan pentadbir masjid serta surau,” katanya dalam hantaran itu.
Zawawi berkata ketetapan itu hanya kepada mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.
Katanya, program pengimarahan masjid seperti kuliah subuh, dhuha, maghrib dan takzirah dibenarkan namun semua penceramah perlu lengkap dua dos dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Mesyuarat berkala jawatankuasa kariah masjid dan surau dibenarkan untuk dilaksana bagi membolehkan perancangan program pengimarahan dan pengurusan kewangan masjid dapat diselia berdasarkan peraturan ditetapkan,” katanya.
Bagi pengurusan jenazah bukan Covid-19 di surau dan masjid dengan kehadiran ahli kariah dan kerabat terdekat tidak melebihi 40 orang dan hanya enam orang jawatankuasa masjid serta surau untuk menguruskan jenazah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai