Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lagi NGO pertikai data kematian dalam tahanan KDN

Angka kematian dalam tahanan yang diberikan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam jawapan lisan parlimen minggu lalu terus menjadi pertikaian.

NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata tafsiran kematian dalam tahanan oleh kerajaan adalah salah kerana hanya tertumpu kepada kematian dalam lokap semata-mata.

Ini katanya, sedangkan banyak kes mahkamah membuktikan ia tidak terhad kepada tafsiran sedemikian, sebaliknya tertakluk selagi mana kematian berlaku di bawah kuasa dan tanggungjawab polis.

Tafsiran yang salah itu, kata Edict, menyebabkan angka diberikan Hamzah untuk masa dari Januari hingga Ogos 2021 - iaitu hanya enam kematian - berbeza daripada angka yang direkod Edict bagi tempoh sama, iaitu sebanyak 10 kematian.

“Kematian dalam tahanan polis bukan hanya bermaksud kematian yang berlaku di dalam lokap polis semata-mata.

“Maksud ‘dalam tahanan’ adalah tahanan itu berada bawah tanggungjawab dan kuasa pihak polis tanpa mengira di mana lokasi tahanan itu berada sama ada dalam kereta polis, kejar-mengejar, atau ketika menjalani rawatan di hospital.

“Apabila seseorang itu telah ditahan, sekiranya orang tersebut didapati mati sejurus selepas penahanan, maka kematian itu dikira sebagai kematian dalam tahanan,” kata Edict pada satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, Edict menggesa Hamzah menyediakan angka kematian dalam tahanan polis yang lebih tepat dengan definisi ‘kematian dalam tahanan polis’ tersebut.

Semalam, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut mempersoalkan data berkenaan, dan membandingkan dengan rekod dicatat mereka dari Januari hingga Ogos 2021, iaitu sebanyak sekurang-kurangnya tujuh kematian.

Angka diberikan Hamzah itu merupakan jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim pada 15 September, berhubung jumlah kematian dalam tahanan polis, imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi lain.

Dalam perkembangan lain, Edict turut meminta Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan langkah kerajaan bagi memastikan proses vaksinasi berjalan lancar untuk tahanan dan banduan di pusat tahanan seperti penjara, depot imigresen dan lokap.

Golongan berkenaan, kata Edict, didapati tercicir daripada misi vaksinasi negara meskipun mencatatkan kadar jangkitan Covid-19 yang amat tinggi, sehingga menyebabkan banyak kes kematian.