Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

3 pegawai ditangkap: Pentingnya SPRM diletak di bawah Parlimen, kata TI-M

Transparency International Malaysia (TI-M) menyuarakan kejutan berhubung laporan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditangkap atas dakwaan penyelewengan berhubung kes melibatkan bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid.

Dalam kenyataannya hari ini, TI-M berkata ia menunjukkan pentingnya bagi badan itu dipertanggungjawabkan secara terus kepada Parlimen.

"TI-M mengulang soalan yang dibangkitkan seorang ahli parlimen (Gobind Singh Deo) iaitu mengapa SPRM menyiasat sendiri pegawainya dan bukan polis.

"Kesalahan menyalahgunakan harta yang diamanahkan kepada penjawat awam jelas terletak di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan oleh itu di bawah bidang kuasa polis.

"Mungkin lebih baik untuk SPRM membuat laporan polis dengan segera dan membolehkan siasatan jenayah diadakan," kata TI-M.

Tiga pegawai itu ditahan minggu lalu atas dakwaan menyeleweng sebahagian daripada AS$6 juta (RM25 juta) yang dirampas daripada Hasanah setelah dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan pada April lalu.

Terdahulu, timbul dakwaan yang ketika Hasanah berusaha mendapatkan wangnya, dia mendapati hanya sebahagian wang yang tertinggal dan selebihnya diganti dengan wang kertas palsu.

Menurut TI-M, laporan Barometer Rasuah Global 2020 menyatakan kadar kepercayaan rakyat Malaysia terhadap SPRM adalah 74 peratus dan ia secara langsung berkaitan dengan persepsi rasuah dalam kerajaan dan perkhidmatan awam, serta keyakinan rakyat dalam melaporkan insiden rasuah kepada badan penguat kuasa itu.

"Insiden terbaru ini, ditambah dengan kurangnya ketelusan dan kebebasan dalam proses mengendalikan dakwaan, hanya akan terus menjejaskan imej SPRM.

"TI-M bersama badan masyarakat sivil lain sekian lama menggesa pengawasan yang lebih besar dan bebas terhadap SPR dengan menjadikan badan itu sebuah suruhanjaya perlembagaan yang secara terus bertanggungjawab kepada Parlimen, dan bukannya kepada seorang menteri kabinet sahaja," katanya lagi.