Peraturan perjalanan baru - UK terus teliti bukti berkenaan Sinovac
United Kingdom akan terus melihat bukti saintifik berhubung vaksin dan pendekatan kesihatan lain bagi memastikan ia selaras dengan dasar vaksinasinya, menurut Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.
"Kerajaan UK menggunakan sejumlah data untuk memastikan vaksin yang diperakui," kata jurucakapnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Senarai vaksin yang diperakui negara itu termasuk AstraZeneca, Pfizer, Moderna dan Janssen.
Sinovac - yang mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan telah diberikan kepada 46 peratus populasi dewasa di Malaysia - tidak termasuk dalam senarai itu.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Malaysiakini berhubung undang-undang perjalanan baru oleh UK pada Ahad lalu yang boleh menyukarkan penerima Sinovac untuk ke England, termasuk pelajar Malaysia yang akan menyambung pengajian mereka.
"Sistem baru, yang akan berkuatkuasa pada 4 Oktober, mengambil pendekatan bersekadar untuk memudahkan peraturan bagi memudahkan perjalanan antarabangsa.
"Di bawah peraturan baru, mereka yang sudah divaksin penuh (tanpa mengira kewarganegaraan) dengan vaksin yang diperakui tidak lagi perlu membuat ujian pra-perjalanan atau pada hari kelapan," katanya.
Walaupun dengan syarat tambahan itu, jurucakap tersebut berkata mereka yang mendapat jenis vaksin yang tidak diperakui di UK masih boleh masuk ke negara itu.
"Mereka hanya perlu mengikut syarat sedia ada iaitu ujian pra-perjalanan, ujian hari kelapan dan pengasingan 10 hari dengan pilihan untuk Test to Release," katanya.
Menurut badan penasihat kerajaan UK, mereka yang memilih skim Test to Release boleh memilih untuk membayar ujian Covid-19 swasta pada hari kelima pengasingan, dan jika mendapat keputusan negatif, dia tidak lagi perlu menjalani pengasingan.
Skim itu terpakai untuk mereka yang menjalani kuarantin di England sahaja, kecuali individu tersebut daripada negara atau kawasan dalam senarai merah pihak berkuasa dalam tempoh 10 hari sebelum ketibaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai