Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

334 kematian baru dilaporkan, jumlah korban kini lebih 24,000

Repositori data Kementerian Kesihatan di Github melaporkan sejumlah 334 kematian Covid-19 semalam (21 Sept), menjadikan jumlah korban setakat ini seramai 24,078 orang.

Buat enam hari berturut-turut, jumlah kematian yang dilaporkan lebih 300 kes. Rekod tertinggi adalah 592 kematian pada 11 September.

Daripada kematian baru yang dilaporkan semalam, 25.15 peratus atau 84 meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima rawatan di hospital.

Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi dengan 187 korban, merangkumi 55.99 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ia disusuli dengan Johor (37), Kelantan (20), Kuala Lumpur (18), Sabah (14), Perak (12), Sarawak (10), Kedah (8), Pahang (7), Pulau Pinang (7), Terengganu (6), Negeri Sembilan (5) dan Melaka (3).

Tiada kematian baru yang dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 105 daripada 334 kematian yang dilaporkan berlaku dalam tujuh hari terakhir dan hanya empat kematian yang berlaku semalam.

Baki kematian yang dilaporkan lebih lama dari tempoh seminggu kerana tunggakan.

Purata 330 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari terakhir. Purata kematian untuk tempoh tujuh hari adalah 356.

Setakat semalam, terdapat 206,473 kes Covid-19 yang aktif. Ini penurunan sebanyak 8.35 peratus berbanding 225,277 jangkitan aktif seminggu yang lalu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan kes baru Covid-19 baru pada waktu petang. Kaedah pengumuman ini telah berubah.

Statistik kematian kini dikeluarkan pada hari berikutnya pada jam 2 pagi. Malaysiakini melaporkannya pada waktu pagi.