Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam mahu rayu keputusan batalkan saman cabar kesahan pengampunan Anwar

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mahu merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan samannya yang mempersoalkan kesahan pengampunan diraja yang diperoleh Anwar Ibrahim bagi sabitan kes liwat.

Walaupun menerimanya dengan hati terbuka, Khairul Azam mengesahkan akan merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, dia telah mengarahkanya peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Reza Hassan untum memfailkan keputusan untuk mengubah keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

“Kepada Allah saya berserah,” katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Rayuan membatalkan saman Khairul Azam dan membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Has Zanah Mehat, Mohd Sofian Abd Razak dan Lee Heng Cheong memutuskan dakwaan Khairul Azam terhadap perayu jelas tidak kukuh kerana dia tidak menyatakan sebarang alasan tindakan terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, Hakim Has Zanah yang mengetuai panel hakim berkata Khairul Azam tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan pengampunan atau nasihat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan itu kepada Yang-di Pertuan Agong dalam memberi pengampunan.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula itu pada 26 Feb tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara selepas pilihan raya umum (PRU) Ke-14.

Peguam itu mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Dakwanya pada ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU ke-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Anwar dihukum penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sabitan serta hukuman itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.