Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Empat kali aku datang' - Penduduk Semporna terdesak serbu PPV

Penduduk yang terdesak di bandar bahagian timur Sabah, Semporna mengerumuni pusat vaksinasi masyarakat, membentuk barisan panjang untuk mendapatkan vaksin Covid-19 mereka, dengan banyak yang terpaksa balik dan harus kembali semula pada hari lain.

Menurut pengasas Sekolah Alternatif, Mukmin Nantang, kekurangan langkah jarak sosial dan kesesakan orang ramai merupakan masalah berterusan di Pusat Vaksinasi Dewan Masyarakat (PPV) Semporna.

Ini jelasnya, kerana ramai yang mula beratur seawal tengah malam sehari sebelum itu walaupun pintu PPV hanya dibuka pada jam 8 pagi tadi.

Pada siang hari, ramai dilihat berbondong-bondong ke PPV dengan harapan dapat masuk berbaris.

Mukmin membawa 12 pelajarnya untuk mendapatkan vaksin mereka ketika dia menemui orang ramai yang terdesak di dewan.

Berkongsi hantaran ke Facebook, Mukmin menyoal kekurangan PPV bagi penduduk Semporna.

"Saya hairan kenapa PPV tidak dibuka lebih banyak di kampung-kampung? Setiap hari ribuan orang berkumpul dan ribuan orang hampa dan mencuba nasib esok-esok hari.

"Khairy Jamaluddin saya harap ada usaha yang lebih progresif. Saya dan kawan-kawan NGO sudi membantu," katanya.

Sekolah Alternatif merupakan institusi yang ditubuhkan Mukmin dan kawannya Achmad Fatkur Raziq untuk mengajar pendidikan asas kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan di Kampung Air, Semporna.

Semporna sebuah bandar pesisir pantai di daerah Tawau, Sabah Timur dengan penduduk suku Bajau yang besar. Oleh kerana sifat nomad mereka, ramai masih tidak mempunyai kad pengenalan walaupun telah tinggal di kawasan itu selama beberapa dekad.

Selain belajar menulis dan matematik, kanak-kanak di Sekolah ALternatif turut belajar kemahiran hidup seperti perdagangan, pertanian, menjahit dan memasak.

Mukmin berkata dia berjaya mendapatkan vaksin untuk semua 12 pelajar sekolah itu pada pukul 12 tengah hari ini, tetapi masih ada ramai orang bersesak di PPV.

Seorang penduduk mendakwa dia telah berusaha untuk mendapatkan vaksin sejak 13 September lalu tetapi masih belum mendapat suntikan.

“Mulai 13 hari bulan saya masuk.

"Saya datang hari ini jam 4 pagi lebih. Kelmarin juga datang.

“Sekarang ini cuba nasib,” katanya.

Jelasnya, dia amat memerlukan vaksin kerana dia tidak dapat bekerja supaya mendapat wang untuk menyara nafkah tujuh ahli keluarga bawah tanggungannya.

Seorang lagi penduduk pula berkata dia telah beratur di pusat PPV itu sejak jam 2 pagi tadi demi dua anaknya.

Memetik pengalaman vaksinasinya sendiri di PPV, dia berkata sebelum ini dia mendapat vaksinnya setelah menunggu selama 15 jam setengah, sambil menambah dia tidur di pusat itu sementara itu.

Dari dua pagi ke lima petang

"Saya sudah dapat vaksin tapi kami dapat jam 2 pagi dapat kerusi. Ramai orang juga datang lebih awal.

“Tidur lah di mana-mana, dah minum pagi subuh, dah minum dan makan ada bekal. Kami dapat vaksin juga tapi kami pulang sampai jam 5:30 petang baru kami dapat," katanya.

Dia mendakwa keutamaan diberikan kepada pelajar sekolah dan mereka yang mempunyai kad pengenalan dan pasport.

Sementara itu, seorang penduduk wanita pertengahan umur yang telah melakukan empat percubaan terdahulu untuk mendapatkan vaksin akhirnya berjaya mendapat tempat di PPV hari ini

"Empat kali sudah aku datang. Pertama kali makcik datang jam 4 pagi sudah ramai orang.

“Kelmarin datang jam 5 pagi pun sudah memang penuh.

“Aku tunggulah sampai jam 12 (tengah hari ini) kalau tak dapat apa aku baliklah,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kesihatan berhubung masalah ini dan seorang pegawai berkata mereka akan meneliti perkara tersebut.

Awal bulan ini, Khairy mengumumkan Kementerian Kesihatan akan memperhebat operasi dan pemvaksinan Covid-19 di lima negeri termasuk Sabah.

Pengarah kesihatan negeri Dr Rose Nani Mudin berkata, Sabah telah menerima 26,000 daripada 180,000 vaksin CanSino dosis tunggal yang akan diberikan kepada penduduk pulau di Semporna.

Setakat semalam, Sabah kekal sebagai negeri dengan kadar vaksinasi terendah pada 54.4 peratus, menurut data Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Pun begitu, kadar vaksinasi harian meningkat dengan Sabah menyaksikan kadar tertinggi pada hari Sabtu pada 35,927 dos pertama yang diberikan.

[Baca laporan asal]