Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kelantan mahu beli dron bantu pesawah sembur racun dan baja

Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM200,000 untuk membeli tiga buah dron pertanian dalam masa terdekat yang akan digunakan untuk membantu pesawah melakukan tugas menyembur racun dan baja cecair membabitkan kawasan lebih 30,000 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kawasan sawah terlibat sebahagian besarnya terletak di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

“Pada peringkat permulaan kerajaan negeri akan membeli tiga buah dron tahun ini dan akan ditambah mengikut peruntukan yang ada pada tahun depan. Penggunaan dron jelas dapat menjimatkan kos, meningkatkan hasil padi dan mengurangkan masa serta tenaga kerja.

“Selain itu, penggunaan teknologi dron juga bertujuan menggalakkan orang muda terutama yang terpelajar menceburkan diri dalam bidang pertanian moden bagi menggantikan golongan tua yang tidak mampu lagi mengerjakan sawah,” katanya.

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Demonstrasi Pengendalian Dron Agriculture Drone Pilot (ADP) Al-Falah Drone Darul Naim di bendang Kampung Jelor, di pasir Puteh hari ini.

Pada program tersebut seramai 30 pelajar Politeknik Kota Bharu dan Kolej Komuniti Jeli dilatih kaedah pengendalian dron yang betul.

- Bernama