Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Shafee setuju dibayar RM1,000 saja untuk rayuan kes liwat Anwar - saksi

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam kes rayuan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Penolong Penguasa di Cawangan Siasatan D, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya, Zulfaqar Mohd Khalil, 29, pada hari keempat perbicaraan kes peguam itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh, saksi pendakwaan kelima itu berkata berdasarkan penyataan rakaman percakapan, Muhammad Shafee menjelaskan bahawa yuran guaman yang dipersetujui di antara beliau dan kerajaan Malaysia adalah RM1,000 bagi kes berkenaan.

Harvinderjit: Menurut perjanjian bertarikh 19 Julai 2013, anak guam saya hanya diberikan RM1,000 untuk mengendalikan rayuan kes Datuk Seri Anwar. Beliau juga menjelaskan bahawa pemberian cek RM9.5 juta daripada Najib tiada kaitan dengan pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan liwat berkenaan. Adakah ia dirakam dalam percakapan beliau?

Zulfaqar: Ya, betul.

Harvinderjit: Oleh sebab ada dakwaan (RM9.5 juta adalah yuran guaman untuk kes liwat Anwar), Muhammad Shafee sendiri membawa kenyataan media dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bagi menyangkal dakwaan berkenaan. Ini adalah usaha anak guam saya dalam memberi penjelasan mengenai dakwaan itu?

Zaulfaqar: Ya.

Pada 11 Mac 2015, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Muhammad Shafee menerima bayaran berjumlah RM1,000 sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes Anwar.

Sementara itu, bekas bendahari Majlis Peguam Malaysia N. Ravindran, 56, memberitahu mahkamah bahawa selepas 2010 sehingga sekarang, semua perkhidmatan yang diberikan oleh peguam harus diisytiharkan pada tahun perkhidmatan itu diberikan walaupun peguam tersebut tidak menerima bayaran daripada anak guam.

“Dua pekeliling bertarikh 15 Feb 2008 dan 3 Sept 2008 telah die-mel kepada Muhammad Shafee. Pekeliling itu adalah berkaitan perkhidmatan yang diberi oleh peguam untuk fi hendaklah diisytiharkan pada tahun perkhidmatan diberikan kecuali perkhidmatan secara pro bono,” kata saksi pendakwaan keenam itu.


Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin akan bersambung pada 14 Okt dengan Ravindran akan disoal balas oleh peguam Harvinderjit.

- Bernama