Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya bukan lompat parti - Syed Saddiq jawab Nazri

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas kenyataan Nazri Aziz yang menjadikannya sebagai contoh wakil rakyat yang gagal.

Jelas Syed Saddiq dia tidak pernah melompat parti sebaliknya dipecat daripada Bersatu kerana menolak menyertai kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN).

"Sejak bila pula saya lompat? Saya dipecat parti kerana tolak penubuhan 'backdoor government'.

"Benda salah, takkan saya nak ikut membuta tuli? Saya ada prinsip, ada amanah rakyat untuk dijaga," katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Syed Saddiq turut memuat naik laporan media berkaitan Nazri Aziz yang mendakwa Ahli Parlimen Muar itu sebagai contoh wakil rakyat yang gagal.

Syed Saddiq disingkirkan dari Bersatu selepas dia enggan mengikut jejak Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Nazri dalam wawancaranya bersama satu portal menyifatkannya Syed Saddiq sebagai pemimpin muda yang gagal.

“Saya tengok macam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada saya dia gagal. Belum apa-apa lagi dah lompat sana, lompat sini.

"Kalau dulu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, duduklah bersama Tun. Mengapa lari daripada Bersatu kemudian jadi bebas?" kata Nazri dalam wawancara itu.