Polis: Tiada laporan dakwa pegawai SPRM curi duit bekas ketua perisik
Polis memaklumkan tidak menerima sebarang laporan mengenai cerita yang mendakwa tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman kerana mencuri wang tunai bernilai A$6 juta (RM24 juta) semasa siasatan kes rasuah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan pada satu kenyataan hari ini mengulas isu viral berhubung dakwaan penangkapan pegawai SPRM itu kerana dituduh mencuri barang kes bekas ketua perisik negara, Hasanah Abdul Hamid.
"Polis ingin mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima oleh polis berhubung kejadian ini.
"Polis ingin menasihati orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menyalahguna media sosial untuk menyebarkan berita palsu," katanya.
Hasanah bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) dituduh di mahkamah pada 2018 kerana jenayah pecah amanah melibatkan RM50.4 juta dana milik kerajaan.
SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.
Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dalam perbicaraan kes pada April tahun ini.
Terdahulu, laporan viral itu mendakwa ketika Hasanah berusaha mendapatkan wangnya, dia mendapati hanya sebahagian wang yang tertinggal dan selebihnya diganti dengan wang kertas palsu.
Ia juga mendakwa Hasanah telah membuat laporan polis dan tiga pegawai SPRM direman oleh pihak berkuasa sejak 14 Sept setelah mereka didakwa mencuri wang tunai bernilai AS$ 6 juta (RM24 juta) semasa siasatan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai