Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Negara mengatasi diri' - nukilan Rafidah Aziz

Beberapa hari selepas Hari Malaysia, bekas menteri Rafidah Aziz menukilkan catatan untuk menyuarakan rasa cinta dan harapannya pada negara.

"Kita tidak tinggal di pulau bersendirian," Rafidah memulakan nukilannya, yang menegaskan kemajmukan rakyat dan betapa pentingnya untuk tidak menjadikan perkara itu sebagai batu penghalang kepada perpecahan di tanah air tempat "bernaung dan bergantung".

Berikut adalah nukilan penuh Rafidah:

Negara mengatasi diri

Kita tidak tinggal di pulau bersendirian

Atau di tengah-tengah hutan banat tanpa kawan

Kita hidup bersama-sama dalam masyarakat.

Sepatutnya faham-memahami sesama sendiri, bermuafakat

Berasaskan perasaan saling rasa hormat

Dijinjing apa yang ringan, dipikul bersama apa yang berat.


Budaya kita campuran warna-warni dan mengagumkan

Adat resam, norma-norma kelaziman serta amalan

Dari berpuluh-puluh keturunan dan generasi, kaum, bangsa dan kumpulan.


Bahasa kebangsaan sewajarnya menjadi bahasa penyatuan antara kita

Tanpa diketepi bahasa-bahasa komunikasi sejagat

Untuk mendapat segala yang terbaru dalam ilmu dan pengetahuan

Suasana, persekitaran mengalami transformasi cepat

Kita akan ketinggalan jika tidak mampu dan tidak terlarat

Menerap segala pembaharuan, sama ada dari Timur atau Barat.


Kita mesti jangan tercicir dan ketinggalan

Daripada arus utama apa jua bentuk kemajuan

Perlu ditingkatkan ilmu dan keupayaan

Sentiasa dikemas kini dasar-dasar pendidikan dan kemahiran.


Usah dipertikai, dipersoal

Asal usul dan Keturunan

Usah dibahas anak siapa, cucu siapa, siapa pendatang, siapa tuan

Jangan "kami" dan " "mereka" membeza-bezakan

Elak memberi label yang mengasing-asingkan.


Kita warga Malaysia

Bukan "warga" Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain kumpulan

Tanah air kita hanya satu yang wajar kita banggakan

Kepada Malaysia - kita janjikan kesetiaan dan apa jua bakti yang boleh dicurahkan.


Malaysia payung besar yang dibawahnya kita sama-sama berlindung

Usaha-usaha mereka yang sebelum kita, wajar kita sekarang menyambung

Memastikan di bawah payung Malaysia - anak, cucu ,cicit selepas kita, dapat bernaung dan bergantung.


Dunia semakin mencabar, menguji ketahanan dan kekuatan negara

Keupayaan serta kebolehan kita, mesti sentiasa bertaraf dunia

Pencapaian cemerlang individu, adalah kejayaan kita bersama

Kerana akan disebut sebagai kejayaan warga Malaysia.


Maka

Mestilah Malaysia kita dahulukan

Dalam apa saja yang kita lakukan

Jika berbuat yang tidak baik, Malaysia juga dimalukan

Jika kita capai kecemerlangan dan kejayaan

Negara kita Malaysia jadi sanjungan.


Tanah Melayu telah lama dibubar, dan negara Malaysia telah diwujudkan

Tidak kira apa asal usul

kaum serta keturunan

Kepada Malaysia - taat setia, usaha bakti, dan cinta abadi kita berikan.


Malaysia negara bertuah

Janganlah kita berpecah-belah

Sesama sendiri

Berpuak-puak, beriri hati, bersengketa, berbalah

Kita perlu terus berusaha membina, memperkukuh

Jangan sesekali merosak, menghancur, menjadikan rapuh apa yang teguh.


Malaysia negara bertuah kita

Bersama-samalah kita jaga sebaik mungkin

Tanah air kita!


RAFIDAH AZIZ ialah bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 1987 ke 2008.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.