Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Parti pembangkang lain juga wajar tandatangan MOU dengan kerajaan'

Selepas Pakatan Harapan (PH) mematerai perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSR) dengan kerajaan persekutuan, penganalisis politik berpendapat langkah itu juga sewajarnya menjadi pilihan kepada parti-parti pembangkang yang lain.

Mereka berkata, ia bagi mewujudkan ekosistem politik yang dinamik di saat negara masih bergelut dengan wabak Covid-19 serta mengukuhkan usaha pembaharuan yang dicetuskan MOU tersebut.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, berkata MoU tersebut penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan ia tidak bermaksud pembangkang perlu tunduk kepada kerajaan.

"Persefahaman ini untuk rakyat dan negara dan semua pihak (kerajaan dan pembangkang) perlu berkorban dan mengetepikan kepentingan masing-masing.

"Saya melihat ada keperluan parti pembangkang lain seperti Pejuang, Warisan dan Muda untuk menyertai MOU ini. Ini demi melihat suatu konsensus boleh dicapai, yang akan membolehkan reformasi terhadap institusi Parlimen dan pemerintahan dilaksanakan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini

Terdahulu Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid menggesa pembangkang yang belum menandatangani MOU dengan kerajaan untuk berbuat demikian.

Persetujuan itu, katanya, adalah agar mereka dapat bersama-sama kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara, dan bukan bererti mereka tidak melakukan kerja-kerja membangkang serta semak dan imbang di Parlimen.

Mazlan berkata lagi, langkah tersebut juga mempamerkan kematangan dan jiwa besar dalam kalangan pimpinan pembangkang dengan mengenepikan soal politik buat sementara.

"Hal ini penting untuk memastikan kerajaan dapat fokus usaha memulihkan negara tanpa ada gangguan politik yang boleh menjejaskan situasi.

"Politiking tak selesai masalah, waktu genting setahun ini perlukan pemimpin pamer sikap matang dan jiwa besar," katanya lagi.

Pada 13 September lalu, PH dan kerajaan memeterai MOU Transformasi dan Kestabilan Politik.


Baca: MoU Transformasi dan Kestabilan Politik: Berikut apa yang dipersetujui k'jaan, PH


Menerusi MOU itu, kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu, dan juga berjanji untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Sebagai balasannya, PH berjanji tidak akan menggunakan undi mereka menggulingkan Ismail Sabri atau menyekat Belanjawan 2022 selagi pembaharuan yang dijanjikan mengikut jadual dan mereka akan dilibatkan dalam perbincangan mengenai Rang Undang-Undang Belanjawan.

Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Shafie Apdal

Sementara itu bagi Prof Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, langkah itu bergantung kepada mekanisme, pendapat dan pendirian parti masing-masing.

Pada masa sama, pensyarah Universiti Malaya itu berkata sebarang keputusan oleh parti pembangkang lain berhubung perkara itu boleh mempengaruhi sokongan orang ramai pada masa akan datang.

"MOU bukan sahaja membolehkan reformasi institusi dapat dilaksanakan yang merupakan antara manifesto PH terdahulu, ia juga membolehkan wakil rakyat parti yang menandatanganinya mendapat peruntukan sama rata.

Ini memberikan manfaat besar kepada kawasan yang diwakili pembangkang.

"Kecuali parti uang menolaknya mempunyai mekanisme sendiri yang lebih baik bagi mendapatkan dana untuk memberikan perkhidmatan kepada pengundi di kawasan mereka," katanya.

Terdahulu, pemimpin DAP Lim Kit Siang turut mengajak Pejuang, Warisan dan Muda menyokong dan menandatangani MOU berkenaan.

Bagaimanapun Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya tidak akan menyokong sebarang bentuk kerjasama yang dilihat mempunyai "unsur rasuah".

"Kalau kita ambil bahagian kerana dapat pulangan tertentu, itu tak sesuai kerana nampak unsur rasuah," katanya.

Presiden Warisan Shafie Apdal pula membidas PH kerana menandatangani MOU itu dengan pihak yang 'mencuri' mandat PH dan sekutunya menerusi Langkah Sheraton.