Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Exco Selangor tulis surat buat PM minta KDN hormati keputusan mahkamah

Exco Selangor V Ganabatirau menulis surat kepada Ismail Sabri Yaakob untuk membantah keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai status kerakyatan anak kepada ibu warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Bercakap kepada Malaysiakini, Adun Kota Kemuning itu berkata surat tersebut dihantar kepada perdana menteri pada 17 Sept lalu.

"Saya selaku exco Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan dan Kerajaan Prihatin Selangor meminta Putrajaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak membuat rayuan terhadapnya.

"Ini bagi menegakkan keadilan kepada wanita warganegara Malaysia yang selama ini terkesan akibat tafsiran undang-undang yang tidak mencerminkan hak kesamarataan," katanya.

Ganabatirau juga menjelaskan dia merayu agar kerajaan pusat segera memulakan gerak kerja untuk merangka pelan tindakan dan pindaan undang-undang berkaitan bagi melaksanakan keputusan mahkamah berkenaan.

Untuk rekod hakim memutuskan seseorang bayi yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberitahu kerajaan membuat akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Sept lalu.

Selain perdana menteri, kata Ganabatirau, surat itu juga dihantar kepada Hamzah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara Idrus Harun.

"Alasan yang dinyatakan oleh Hamzah adalah sangat tidak berasas dan tidak adil.

"Sekiranya alasan dwikerakyatan digunakan untuk menolak kerakyatan anak yang lahir itu, apakah alasan ini juga boleh digunakan untuk anak kepada lelaki warganegara Malaysia?

"Bukankah ini satu diskriminasi jantina yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia? Dwikerakyatan ini juga menjadi milik seseorang secara semula jadi," katanya.