Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan beri dos ketiga vaksin, laksana pakej penjagaan Covid-19

Kerajaan hari ini mengumumkan setuju untuk memberikan dos ketiga vaksin Covid-19 sebagai langkah meningkatkan perlindungan kepada orang ramai.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan akan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dulu.

Katanya mereka termasuklah petugas barisan hadapan, pesakit kurang daya tahan imunisasi, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang bekerja atau tinggal di pusat jangka panjang.

Menurut Ismail Sabri pemberian dos ketiga itu akan dibuat selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

"Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

"Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu menurut Ismail Sabri juga mengumumkan peruntukan lebih RM471.6 juta bagi bantuan kepada golongan B40 melalui Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC).

Kata ahli parlimen Bera itu bantuan tersebut dibuat antara lain bagi meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah mereka, selain melatih diri membudayakan norma baru, sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC yang mengandungi:

  •  Pek pelitup muka guna semula (empat keping setiap keluarga);
  •  Kit ujian kendiri Covid-19 (4 kit setiap keluarga);
  •  1 pulse oximeter;
  •  1 termometer; serta
  •  Risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

Kata Ismail Sabri pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

"Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak," katanya.

Kata Ismail Sabri inisiatif itu dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40.

Sama seperti pemberian dos ketiga vaksin Covid-19, perdana menteri berkata butiran lanjut PPC akan diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin tidak lama lagi.