Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Izzah, Dr Dzul soal: Apa jadi reformasi undang-undang dadah?

Dua ahli parlimen PH menyoal bilakah perubahan yang banyak dibincangkan mengenai undang-undang dadah akan dilaksanakan.

"Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai pembaharuan penjara dan pusat tahanan masih menunggu butiran lebih lanjut dan peruntukan sebenar dalam Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 2020 yang baru.

"(Akta ini) disebut-sebut oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin - untuk menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Ini memberi kita harapan untuk mempermudah jalan keluar dan akses kepada rawatan serta ubat-ubatan pemulihan dan bukannya tindakan hukuman melampau yang hanya merugikan dan memburukkan penyalahgunaan dadah di negara ini," kata Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar kepada Malaysiakini.

Ini susulan penangkapan pasangan kekasih kerana memiliki biskut ganja dan laporan bahawa mereka akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Saya teringat usaha mendiang VK Liew dalam menerajui reformasi sistem keadilan jenayah - dan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori yang jelas telah memangsakan pesalah kecil berpendapatan rendah atau keldai dadah, dan bukannya 'raja pengedar dadah'.

Gambar fail, mendiang Liew Vui Keong bekas menteri undang-undang era PH.

"Saya berharap pembaharuan seperti itu dapat dikaji kembali melalui dua jawatankuasa teknikal yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri - kelolaan Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-undang," katanya.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ismail juga menyoal apakah ada kemajuan yang telah dicapai dalam masalah polisi mengurangkan mudarat masalah dadah.

"Kami masih berpegang pada pandangan itu untuk isu dasar dekriminalisasi terhadap orang-orang yang memiliki (sejumlah kecil dadah) dan bukan mereka yang memperdagangkan untuk membuat keuntungan.

"Ketagihan dadah adalah penyakit dan pesakit memerlukan rawatan dan terapi," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 27 Jun 2019, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan merancang melaksanakan polisi mengurangkan mudarat dalam penagihan dadah dengan mengambil pendekatan kesihatan awam serta melayan penagih sebagai pesakit dan bukan penjenayah.


Untuk rekod, pasangan yang ditangkap bulan ini ditahan dengan sejumlah besar ganja yang bermaksud mereka tidak akan memenuhi syarat pengecualian penggunaan peribadi polis membuat rampasan,"156 balang biskut ganja seberat 43.275kg, 94 kek seberat 9.625kg, ketulan mampat ganja seberat 7.82kg dan cecair ganja seberat 31kg."

Dr Dzulkefly juga meminta lebih banyak kajian dibuat mengenai isu penggunaan ganja perubatan.

"Penyelidikan mesti diteruskan dan perlu membuahkan hasil. Sekiranya berjaya, produk pembuatan di sini atau di luar negara boleh melalui proses Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA - KKM) sama seperti ubat farmasi lain,” katanya.

Isu ini pernah dilaporkan ketika Muhammad Lukman Mohamad dijatuhi hukuman mati pada 30 Ogos 2018 bawah Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Awal tahun ini pada 17 Februari, Lukman terlepas tali gantung apabila sidang tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitannya atas dua tuduhan mengedar dadah.

Walaupun banyak pengumuman dasar PH mengenai masalah itu, termasuk oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad namun undang-undang tersebut tidak pernah berubah.

Setakat Februari 2019, 1,281 banduan akhir dilaporkan sedang menunggu hukuman mati di negara ini, dengan 73 peratus telah disabitkan kesalahan mengedar dadah bawah Seksyen 39 (b).

Gambar fail, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Berikutan penangkapan kes pasangan disyaki edar biskut ganja, para penggiat kempen #KajiBukanKeji dan Persatuan Kesedaran Malaysia (Masa) menyatakan rasa kesal kerana mahkamah masih diberi mandat untuk mengeluarkan hukuman berat terhadap pesalah atas tuduhan berkaitan dadah.

Terdapat keperluan yang jelas untuk reformasi dasar dadah dan polisi yang lebih besar dalam menjatuhkan hukuman, terutama ketika hukuman berat dan tidak dapat dipulihkan seperti hukuman mati, kata mereka.

Mereka memetik keputusan Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Disember tahun lalu yang telah "mengklasifikasikan semula kanabis sebagai "dadah yang kurang berbahaya" dan mengeluarkannya daripada senarai bahan opiod yang boleh membunuh dan ketagih.

Sidang CND PBB ke-63 di Vienna, Austria telah bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Potensi dan kelemahan ganja dalam perubatan tetap menjadi bidang penyelidikan yang aktif dan kemungkinan besar akan menjadi lebih aktif kerana lebih banyak negara telah menghalalkan ganja untuk pelbagai tujuan termasuk perubatan dan rekreasi.

[Baca laporan asal]