Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahdzir Khalid pula ajak pembangkang lain tandatangan MOU

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid menggesa pembangkang yang belum menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSR) dengan kerajaan, untuk berbuat demikian.

Persetujuan itu, katanya, adalah agar mereka dapat bersama-sama kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara, dan bukan bererti mereka tidak melakukan kerja-kerja membangkang serta semak dan imbang di Parlimen.

Ia juga tidak sekali-kali menjadikan pembangkang sebahagian daripada kerajaan kerana apa yang dibentuk bukanlah kerajaan perpaduan.

“MOU ini persefahaman antara kerajaan dan pembangkang tetapi dia tetap membangkang. Dalam parlimen pun mereka tetap ‘tibai’ kerajaan dan peranan semak serta imbang tetap dimainkan.

“Cumanya ada persefahaman atau limitasi mengenai hal dinyatakan dalam MOU itu yang akan melibatkan kerjasama dari kerajaan dan pembangkang.

“Oleh itu, kita berharap parti lain juga yang belum menandatangani MoU, dapat mencari jalan supaya bersetuju dengan kerajaan, untuk bersama dalam urusan berkaitan Covid-19 dan pembangunan semula ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, ahli parlimen Padang Terap itu bercakap kepada pemberita selepas menerima taklimat mengenai program tanam semula di Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, hari ini.

Semalam, DAP turut meminta hal yang sama, agar parti-parti pembangkang yang belum menandatanganinya - Warisan, Pejuang dan Muda - agar menyokong dan menandatangani MOU CSR dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, demi “ masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia”.

Pun begitu, hari ini, pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata partinya tidak dijemput untuk berbincang berhubung MOU berkenaan, dan partinya juga tidak akan menyokong sebarang bentuk kerjasama yang dilihat mempunyai "unsur rasuah".

Presiden Warisan Shafie Apdal pula ketika berucap di Parlimen tiga hari lalu membidas PH kerana menandatangani MOU itu dengan pihak yang 'mencuri' mandat PH dan sekutunya menerusi Langkah Sheraton.

Mengulas lanjut, Mahdzir meminta semua ahli politik tidak “sibuk bermain politik” dalam masa sekarang, sebaliknya memberikan tumpuan kepada kesusahan rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Di pihak kerajaan, Insya Allah tanggungjawab ini akan diambil secara serius dengan program ekonomi rakyat juga akan dibuat secara menyeluruh,” katanya lagi.