Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PM: Aukus boleh cetus perlumbaan senjata nuklear, provokasi

Malaysia berpendapat bahawa penubuhan kerjasama tiga hala antara Australia - United Kingdom - Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Aukus akan memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

"Pada masa yang sama, ia akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan," kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan petang ini.

PMO mengatakan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri telah memberitahu pendirian Malaysia kepada rakan sejawatnya dari Australia, Scott Morrison melalui panggilan telefon semalam.

PMO mengatakan Malaysia berpegang teguh pada deklarasi Asean pada tahun 1971 bahawa rantau itu akan menjadi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).

Aukus dimaterai semalam dan akan menyaksikan ketiga-tiga negara itu bertukar teknologi dan risikan.

Namun, bahagian terpenting dalam perjanjian itu melibatkan UK dan AS membantu Australia menghasilkan kapal selam yang mempunyai kuasa nuklear.

Pada masa ini, hanya enam negara yang mampu menghasilkan senjata tersebut.

Kapal selam berkuasa nuklear lebih sukar dikesan dan mempunyai jarak sasaran lebih jauh daripada kapal selam diesel-elektrik.

Morrison telah menghubungi Ismail untuk menjelaskan keputusan Australia dalam menyertai Aukus.

PMO mengatakan Ismail dan Morrison telah memperbaharui komitmen untuk memastikan keamanan, terutama di Pasifik Indo ..

"Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini, selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

"Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership)," kata PMO.