PH: M'sia perlu nyata pendirian berhubung pakatan baru AS, UK, Australia
PH menggesa kerajaan menyatakan pendirian Malaysia berhubung pakatan strategik ketenteraan baru antara Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia.
Menurut Jawatankuasa Keselamatan PH, pakatan itu - yang digelar Aukus - turut meliputi perolehan kapal selam berkuasa nuklear bernilai AUD90 bilion, yang disifatkan sebagai perkembangan besar di rantau ini.
Justeru, jawatankuasa itu berharap Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah dapat menyatakan pendirian kerajaan di Parlimen.
"Langkah Australia, US dan UK ini besar kemungkinan akan meningkatkan suhu ketegangan di rantau Asia.
"Disebabkan kedudukan geografinya yang terletak di tengah persaingan geopolitik dunia yang semakin sengit, Malaysia perlu meneliti dan menyatakan pendiriannya dengan jelas.
"Selari dengan kepentingan negara, Malaysia perlu menjelaskan bahawa kita bersedia bekerjasama dengan semua pihak. Namun, sebelum itu, AS dan China perlu meredakan ketegangan khususnya di Laut China Selatan dan rantau Asia secara amnya," kata jawatankuasa itu.
Kenyataan itu ditandatangani Mohamad Sabu (Amanah), Johari Abdul (PKR) dan Liew Chin Tong (DAP). Mohamad dan Liew masing-masing adalah bekas menteri dan timbalan menteri pertahanan.
Aukus adalah kerjasama keselamatan, perisikan dan teknologi yang baru melibatkan tiga negara itu. Bagaimanapun isu pemerolehan kapal selam berkuasa nuklear mengundang paling banyak perhatian.
Menerusi kerjasama itu, Australia akan membangunkan kapal selam tersebut di Adelaide.
Kapal selam berkuasa nuklear adalah lebih sukar dikesan berbanding yang berkuasa diesel, seperti dua buah yang dimiliki Malaysia.
Kewujudan kapal selam Australia itu berisiko memberi kesan kepada keseimbangan kuasa di rantau ini, terutama di Laut China Selatan.
China memiliki 12 buah kapal selam berkuasa nuklear dan enam daripadanya memiliki kelengkapan misil balistik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai