Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Korban Covid-19 (18 Sept): 388 kes kematian dilaporkan, jumlah keseluruhan 22,743

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di laman Github melaporkan sejumlah 388 kes kematian akibat Covid-19 semalam (17 Sept), menjadikan angka korban setakat ini seramai 22,743.

Daripada jumlah itu, 64 mangsa (16.49 peratus) meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Sejumlah 192 daripada 388 kematian yang dilaporkan berlaku dalam masa tujuh hari yang lalu, dan hanya sembilan pesakit meninggal dunia semalam.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu lalu dan baru dilaporkan ekoran tunggakan data. Malah ada sejumlah kematian yang berlaku pada April.

Purata kematian harian yang dilaporkan bagi 30 hari terakhir adalah 315 kes. Purata tujuh hari terakhir adalah 417 kes.

Selangor mencatatkan angka kematian baru tertinggi dengan 167 kes, merangkumi 43.04 peratus daripada kes kematian baru.

Ia disusuli dengan Johor (76), Kedah (48), Pulau Pinang (24), Sabah (22), Pahang (12), Kuala Lumpur (12), Kelantan (10), Perak (7), Terengganu (5), Perlis (2), Sarawak (2) dan Negeri Sembilan (1).

Ini merupakan angka kematian tertinggi yang dilaporkan dalam sehari di Johor. Jumlah keseluruhan kes kematian di negeri itu juga kedua tertinggi selepas Selangor.

Tiada kes kematian baru di Melaka, Labuan dan Putrajaya.

Setakat semalam, terdapat 221,339 kes aktif Covid-19. Jumlah itu terus menurun setelah mencecah angka tertinggi pada 28 Ogos lalu.

Sebelum ini, KKM melaporkan statistik kematian bersekali dengan kes baru pada setiap petang.

Kes kematian kini dilaporkan pada tengah malam. Malaysiakini akan melaporkannya pada pagi sehari kemudian.