Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mat Hasan saran kerajaan mula beri perhatian pada kes Long Covid

Timbalan Presiden Umno, Mohammad Hassan meminta kerajaan mula memberi perhatian kepada kes Long Covid.

Mohammad berkata kerajaan kini wajar mempunyai dasar dan strategi khusus bagi mengenalpasti, menyelidik dan memulih kesan jangka panjang bagi penghidap Covid-19.

Katanya, pada masa ini lebih 2 juta populasi di Malaysia telah dijangkiti virus berkenaan dan angka sebenar mungkin lebih tinggi.

"Peratusan yang mempunyai Long Covid juga mungkin akan semakin ramai. Pemulihan kesihatan mereka ini adalah sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara menyeluruh.

"Saya menyarankan agar kerajaan mula memberi perhatian kepada kes Long Covid ini secara terpadu. Pemulihan kesihatan mereka ini adalah sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara meyeluruh,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan masih belum mengemukakan data terperinci mengenai Long Covid, namun beberapa universiti tempatan telah memulakan penyelidikan tentangnya.

Memetik jurnal perubatan Lancet, beliau berkata Long Covid adalah cabaran terbesar sektor perubatan.

“Banyak yang masih tidak diketahui tentangnya. Justeru pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” katanya.

Mohamad berkata dasar sedia ada tidak boleh sekadar pencegahan dan rawatan tetapi perlu merangkumi rawatan jangka panjang serta pelbagai penyelidikan berkaitan.

Tambahnya, keutamaan harus diberikan kepada vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan selain pelaburan untuk penyelidikan.

Long Covid merujuk kepada keadaan di mana bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah pulih dari jangkitan Covid-19.

Gejala berterusan ini boleh terjadi pada sesiapa sahaja yang dijangkiti Covid-19 walaupun cuma mendapat gejala ringan atau tiada gejala langsung.

Pada Jun lalu, Kementerian Kesihatan ,memaklumkan hampir 70 peratus pesakit Covid-19 pada tahap empat dan lima menderita gejala Long Covid.