Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Kejayaan arahan baru prosiding reman bergantung pada pihak terlibat'

Sebuah kumpulan rentas parti menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pemegang taruh terlibat agar mengambil langkah segera agar arahan berhubung prosiding reman dipatuhi.

Kumpulan Ahli Parlimen Malaysia Untuk Reformasi Tahanan (APPGM) dalam kenyataan hari ini mengalu-alukan keputusan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berhubung layanan terhadap individu yang direman.

"Kejayaan pelaksanaan Arahan Amalan yang baru ini bergantung kepada komitmen pelbagai pemegang taruh - terutama KDN- untuk menguatkuasakannya.

"Amat penting untuk penguatkuasaan undang-undang terus menghormati mandat majistret bagi menjamin orang yang direman dijaga, dan untuk penguatkuasaan undang-undang memberi kerjasama penuh dalam hal ini.

"Dari segi ini, kami menggesa KDN dan pemegang taruh lain, termasuk masyarakat sivil, untuk mengambil langkah segera bagi menjamin arahan baru ini dipatuhi," kata APPGM.

Kumpulan dwiparti ini dianggotai oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said (Umno-Pengerang), Rohani Abdul Katim (PBB-Batang Lupar), Vell Paari (MIC, senator), Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh), Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Liew Chin Tong (DAP, senator), peguam Sangeet Kaur Deo dan anggota Majlis Saintifik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Adeeba Kamarulzaman.

Kata APPGM lgi, keberkesanan arahan tersebut hanya dapat dilihat jika kehakiman sendiri mematuhinya.

Tengku Maimun

Pada 13 September lalu, Tengku Maimun mengeluarkan Arahan Amalan bagi mengemas kini tatacara prosiding permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah, bagi memastikan Orang Yang Disyaki (OYDS) telah diberi peluang untuk menghubungi dan melantik peguam.

Antara lain, majistret perlu dimaklumkan berkenaan keadaan individu yang direman dan memastikan hak asasi mereka dilindungi.

Arahan itu berkuat kuasa 15 September lalu, menggantikan arahan sebelum ini yang dikeluarkan pada 2003 dan 2011.

Dalam pada itu, APPGM menyifatkan arahan itu sebagai langkah ke hadapan dalam menegakkan hak perlembagaan individu yang direman untuk diwakili peguam.

"Malah, Perlembagaan Persekutuan menjamin hak orang yang ditangkap untuk dimaklumkan asas penangkapannya secepat mungkin.

"Dalam hal ini, orang yang direman juga perlu diberi makluman berkenaan prosedur yang akan dilaluinya dan hak ketika ditahan.

"Diharap langkah ini akan menggalakkan ketelusan dalam layanan terhadap tahanan reman, memandangkan pihak berkuasa kini perlu bertanggungjawab penuh terhadap denan majistret," katanya.