Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bengkel nafi punca pencemaran Sg Gong

Sebuah bengkel menafikan bertanggungjawab atas gangguan bekalan air secara meluas di Lembah Klang tahun lalu.

Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd menegaskan perkara ini dalam Pernyataan Pembelaan mereka terhadap tuntutan mahkamah oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew dan lebih daripada 800 pengguna mengenai gangguan bekalan air berskala besar akibat pencemaran air di Sg Gong.

Selain syarikat itu, 17 defendan lain adalah kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR; menteri besar Selangor; Jabatan Saliran dan Pengairan negeri dan pengarahnya; Majlis Perbandaran Selayang; Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd; Lembaga Urus Air Selangor; syarikat Pakar Scieno TW Sdn Bhd; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span); Majlis Kualiti Alam Sekeliling dan ketua pengarahnya; Jabatan Alam Sekitar kerajaan persekutuan dan ketua pengarahnya; Jabatan Saliran dan Pengairan kerajaan persekutuan dan ketua pengarahnya; menteri alam sekitar dan air; dan kerajaan pusat.

Pada 15 September tahun lalu, empat beradik yang merupakan ahli lembaga pengarah Yip Chee Seng & Sons, dan juga pengurus bengkel, didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang berkaitan dengan pencemaran di Sg Gong, yang mengakibatkan gangguan bekalan air ke lebih daripada 1.2 juta orang. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu awal bulan itu, antara 2 dan 3 September.

Melalui Pernyataan Pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Yip Chee Seng & Sons berpendapat bahawa Tan dan plaintif lain gagal menunjukkan bukti bahawa pengendali bengkel itu bertanggungjawab atas pencemaran di Sg Gong.

"Defendan Pertama (Yip Chee & Sons) memplidkan (mengaku) bahawa pada setiap masa yang material, tiada sebarang kacau ganggu, kecuaian dan/atau liabiliti tegas yang dilakukan oleh Defendan Pertama terhadap plaintif-plaintif.

"Adalah diplidkan bahawa pada setiap masa yang material, Defendan Pertama telah mengambil langkah yang munasabah dengan melantik kontraktor-kontraktor Defendan Pertama dalam mengendalikan bahan-bahan buangan Defendan Pertama.

"Oleh yang demikian, Defendan Pertama memplidkan bahawa pada setiap masa yang material tiada sebarang bahan yang dilupuskan oleh Defendan Pertama ke dalam sungai.

"Justeru, adalah diplidkan bahawa sebarang kerugian dan/atau kerosakan yang dialami oleh plaintif-plaintif adalah bukan disebabkan oleh Defendan Pertama," kata pengendali bengkel itu.

Syarikat itu mendakwa bahawa surat writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif tidak mendedahkan fakta konkrit dan jelas yang membuktikan isu pencemaran di Sg Gong perpunca dari mereka.

Yip Chee Seng & Sons berpendapat bahawa maklumat yang dititik beratkan oleh tuntutan itu adalah yang dikeluarkan oleh kenyataan media Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (defendan ketiga), yang hanya mendedahkan bahawa isu pencemaran air di Sg Gong masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa .

Pada 3 September tahun lalu dalam satu kenyataan media, Pengurusan Air Selangor mengumumkan gangguan air yang tidak berjadual kerana arahan berhenti kerja di empat loji rawatan air, yang menjejaskan tujuh kawasan, iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang / Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Kemudian dua hari kemudian melalui satu kenyataan media lain pada 5 September, Pengurusan Air Selangor mengatakan bahawa keempat-empat loji rawatan air akan beroperasi semula secara berperingkat.

Pengendali bengkel selanjutnya berpendapat bahawa tuntutan plaintif terhadapnya adalah kerana sukar untuk mendapatkan bekalan air bersih, yang merupakan isu yang bukan di bawah tanggungjawabnya.

"Adalah diplidkan bahawa pada setiap masa yang material, permasalahan bekalan air yang dihadapi oleh plaintif-plaintif adalah disebabkan oleh kegagalan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan bekalan air yang bersih," dakwa syarikat itu.

Yip Chee Seng & Sons menambah bahawa tuntutan plaintif terhadapnya tidak masuk akal dan tidak berasas, dan sekiranya mahkamah membenarkan tuntutan itu, pihaknya akan membuka jalan kes oleh individu lain yang tinggal di Lembah Klang.

Sementara itu, tuntutan itu dibuat untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dengan perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 26 Oktober.