Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Lepasan SPM, diploma, ijazah terpaksa rebut kerja sama'

Siswazah kini terpaksa merebut peluang pekerjaan yang disediakan kepada lepasan SPM dan diploma kerana kekurangan peluang kerja, kata Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Oleh itu, katanya kerajaan perlu memberi perhatian segera terhadap isu pekerjaan yang berlaku ketika ini.

"Apabila mereka berebut mendapatkan pekerjaan melebihi daripada kelayakan, sebagai contohnya pekerjaan yang dikhaskan untuk lepasan SPM atau diploma, juga direbut bersama lepasan ijazah.

"Situasi ini sekaligus menyebabkan golongan lepasan SPM dan diploma terpaksa bersaing dengan lepasan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan.

"Impak pekerjaan bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan ia menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Sahfie berkata data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Julai 2021, seramai 778,200 orang penduduk Malaysia telah hilang pekerjaan atau masih menganggur, meningkat 4.8 peratus dari bulan sebelumnya.

Kadar pengganguran pada bulan Julai 2021 adalah yang tertinggi untuk tahun ini walaupun Kerajaan telah memperuntukkan RM530 billion dalam lapan Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini.

Katanya, pada tahun 2020, direkodkan jumlah siswazah yang bersedia untuk masuk ke pasaran kerja adalah seramai 260,701 orang.

Bagaimanapun jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah dalam negara pada tahun 2020 hanya 73,000 pekerjaan, merosot 31,000 dari tahun sebelumnya.

"Pada tahun 2020 sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran. Ini merangkumi 37.4 peratus jumlah pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan ijazah.

"Ini juga bermakna pada tahun 2020 sebanyak 1.89 juta pekerjaan yang sepatutnya dikhaskan untuk lepasan SPM dan diploma telah diisi oleh pekerja siswazah yang bekerja di bawah kelayakan.

"Situasi ini menunjukkan terdapat jurang ketidakpadanan (mismatching) yang besar dalam pasaran kerja di negara ini," katanya.

Selain itu kata Mohd Shafie, kajian juga menunjukkan bahawa “underemployment" ini membawa kepada jurang kemiskinan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah B40.