Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

102 penduduk terjejas pencemaran Sungai Tawakal dibenar pulang

Kesemua 102 penduduk Kampung Baru Sri Aman yang terjejas insiden pencemaran Sungai Tawakal, Seelong, di Johor Bahru, Selasa lepas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing semalam.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Penguasa Kanan Bomba I Mohd Tilmizi Mustapha berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 25 keluarga itu dibenarkan pulang pada tengah hari manakala Balai Raya Kampung Sinaran Baru yang menempatkan penduduk berkenaan telah disanitasi oleh bomba.

“Keadaan yang semakin baik dan selamat membolehkan penduduk dibenarkan pulang semalam namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan terus memantau keadaan di sana,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar JAS Johor Muhammad Faiz Mohd Shafie pula berkata seramai 38 individu daripada JAS dan badan bukan kerajaan (NGO) melakukan pembersihan di sekitar kawasan tebing sungai berdekatan kediaman penduduk pada 9 pagi tadi.

“Pembersihan telah dibuat sebelum ini tetapi kita buat lagi hari ini dengan kerjasama NGO bagi memastikan sisa-sisa terjadual di tepi rumput atau tebing dapat dibersihkan sebaiknya.

"Penghadang juga dibuat untuk memperlahankan aliran sungai bagi memerangkap sisa-sisa terjadual yang berada di tebing sungai,” katanya.

Sementara itu, rata-rata penduduk yang ditemui Bernama hari ini memaklumkan kesan seperti minyak di permukaan air sungai semakin berkurangan berbanding semalam selain tiada bau busuk.

Seorang penduduk, Othman Abdullah, 62, berkata beliau mendapati sungai itu tidak lagi berminyak dan sebilangan kecil ikan dilihat timbul.

“Kami harapkan pihak berkuasa dapat melakukan siasatan segera supaya insiden ini tidak berlaku lagi dan saya bersyukur insiden ini tidak mengorbankan nyawa,” katanya yang mendiami kampung itu sejak 30 tahun lepas.

Insiden kira-kira 10 malam itu menyebabkan empat wanita sesak nafas manakala 102 penduduk daripada 25 keluarga dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru berikutan bau busuk dari sungai berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dilaporkan berkata JAS dan agensi berkaitan sedang melengkapkan siasatan dan setakat ini sembilan lelaki membabitkan lima warga tempatan dan empat warga asing berusia 30 hingga 50 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

- Bernama