'Jawapan Shahidan beri gambaran k'jaan lepas tangan isu Kg Baru'
Amanah Wilayah Persekutuan mengkritik jawapan Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim di Dewan Rakyat yang menyatakan kerajaan tidak akan masuk campur dalam pembangunan Kampung Baru, sebaliknya membiarkan pemilik tanah berurusan sendiri dengan pemaju.
Menurut naib presiden Amanah Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi, kenyataan itu bukan sahaja menjengkelkan tetapi juga bersikap lepas tangan kerana tidak menjaga kebajikan rakyat.
“Amanah Wilayah Persekutuan kesal dengan kenyataan tersebut yang secara langsung memberikan mesej bahawa kerajaan yang kononnya mewakili ‘Keluarga Malaysia’ ini ingin berlepas tangan dalam perkara penting yang melibatkan kebajikan dan urusan hartanah milik penuh orang Melayu di kawasan segitiga emas di bandaraya Kuala Lumpur ini," katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zamri mempersoalkan apakah fungsi dan peranan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) yang ditubuhkan dan diberikan bajet yang besar setiap tahun.
Katanya, fungsi utama PPKB seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (Akta 733) ialah untuk mengurus, menyelaras dan membantu pewaris dan pemilik tanah dalam segala urusan yang melibatkan pembangunan Kampong Baru.
“Jika kerajaan mengambil sikap mudah membiarkan segalanya diuruskan oleh pemilik tanah dan pemaju, adalah lebih baik PPKB ini ditutup dan dimansuhkan sahaja kerana kewujudannya hanya membazirkan duit rakyat sedangkan ia tidak langsung berfungsi sepertimana objektif utama penubuhannya di bawah Akta 733 tersebut,” katanya.
Pada 14 September lalu, Shahidan ketika menjawab soalan Khalid Samad (PH-Shah Alam) mengenai status terkini cadangan pembangunan Kampung Baru berkata kerajaan tidak terbabit dalam pembelian tanah secara keseluruhan di Kampung Baru.
Sebaliknya katanya, ia merupakan pembangunan yang dilaksanakan secara usaha sama pemaju dan pemilik tanah.
Khalid yang juga merupakan bekas menteri wilayah persekutuan berkata pemilik tanah tidak boleh berurusan dengan pemaju tanpa campurtangan kerajaan kerana ia akan menyebabkan mereka ‘dibuli’ oleh pemaju.
Sementara itu, Ahmad Zamri turut mempersoalkan peranan ahli parlimen Titiwangsa yang seolah-olah berdiam diri tanpa tampil menyuarakan sebarang penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh pewaris tanah Kampung Baru.
“Akhirnya menteri dengan mudah berlepas tangan dan tidak langsung menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk dengan menyerahkan segalanya kepada pemilik untuk berurusan sendiri dengan pemaju di samping ugutan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Sikap ini amatlah dikesali dan Amanah percaya rakyat akan mengajar kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini dalam PRU15 yang akan datang,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai