Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wan Junaidi tumpu pembaharuan mudah dicapai terlebih dulu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dia akan memberi tumpuan terhadap aspek pembaharuan yang lebih mudah dicapai dan boleh dilaksanakan segera terlebih dahulu.

Wan Junaidi berkata, ini kerana banyak pembaharuan memerlukan pindaan perlembagaan, yang mungkin sukar jika ahli parlimen kerajaan dan pembangkang tidak sepakat.

"Jadi kita lihat perkara yang boleh dilaksanakan cepat. Misalnya cadangan undang-undang antilompat parti, had tempoh jawatan perdana menteri dan Undi18," katanya.

Dia berkata demikian dalam webinar bertajuk "Memorandum Persefahaman (MoU) - Menuju Transformasi dan Kestabilan?" yang turut menampilkan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke dan pensyarah Wong Chin Huat.

Sebarang pindaan perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli parlimen. Pindaan terakhir dibuat pada 2019 untuk menurunkan had layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Menurut Wan Junaidi, rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan anggapan kestabilan kerajaan hanya boleh dicapai dengan majoriti yang besar atau sokongan lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ini jelasnya berlaku pada 1974 apabila pembentukan kerajaan BN mendapat majoriti dua pertiga di parlimen sehinggalah pilihan raya umum 2008 menamatkan penguasaan itu.

"Ketika era itu, ahli parlimen dan kerajaan sentiasa merasakan kestabilan akan datang dengan majoriti dua pertiga, tetapi sekian lama saya tidak menjadikan (tanggapan itu) sebagai prinsip saya.

"Saya sentiasa percaya rundingan dan dialog antara kerajaan dan pembangkang perlu diteruskan, kerana hanya itu saja cara untuk menunjukkan kematangan kita sebagai ahli politik," katanya.

Pada Isnin lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Secara asasnya, dengan pemeteraian itu, PH tidak akan menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya, seperti belanjawan.

Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH.


Baca: MoU Transformasi dan Kestabilan Politik: Berikut apa yang dipersetujui k'jaan, PH


Wan Junaidi berkata, MoU itu bukan untuk menghalang pembangkang memainkan peranannya, tetapi lebih kepada apa yang perlu kerajaan lakukan untuk mendapat sokongan daripada pembangkang.

"Parlimen untuk memantau kerajaan dan pembangkang perlu terus memainkan peranan itu dengan baik," kata ahli parlimen Santubong itu lagi.

Menyifatkan pembaharuan parlimen sebagai perkara yang dekat dengannya, dia berkata antara pembaharuan yang sedang diteliti adalah mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

"Sudah menjadi matlamat saya sejak (pemansuhan akta itu pada 1963) untuk memperkenal semula undang-undang itu agar parlimen bebas, agar tindakan kita di parlimen konsisten dengan apa yang diamalkan di tempat lain dalam Komanwel, dan juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan kita," katanya lagi.

Dia membangkitkan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan untuk mengawal sendiri "tata caranya".

Dalam konteks parlimen, kita tidak ikut Perlembagaan sejak 1963 dan tiada siapa yang bercakap tentangnya," katanya lagi.

Sejak pelantikannya sebagai menteri undang-undang, katanya lagi, dia telah berbincang dengan yang dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara berhubung pembaharuan parlimen yang difikirkannya.

Katanya, dia mahu pembaharuan dipelopori ahli parlimen sendiri, dan bukannya daripadanya sebagai menteri yang merupakan sebahagian daripada eksekutif.

"Kedua-dua yang dipertua memadang serius cadangan saya dan mereka komited dengannya," katanya lagi.

Wong Chin Huat

'MoU tanda anjakan paradigma'

Sementara itu, Wong berkata MoU tersebut adalah "hadiah terbaik untuk Hari Malaysia" kerana kebanyakan pembaharuan yang dijanjikan sudah tertangguh sejak sekian lama.

Katanya, MoU itu akan membolehkan kestabilan untuk apa yang disifatkannya sebagai "parlimen tergantung secara de facto" serta mengelakkan pertukaran kerajaan yang kerap.

Ia akhirnya akan membawa kesinambungan kepada pelaksanaan dasar, katanya.

Dia berkata, MoU itu juga tanda kepada anjakan paradigma yang signifikan - pertamanya sebagai peralihan daripada gabungan kekal kepada gabungan "bebas", sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian.

Katanya lagi, gabungan kekal merujuk kepada sejumlah parti yang bertanding dalam pilihan raya dan menjadi kerajaan - atau pembangkang - sebagai satu blok.

"Sejak 1957 hingga 2008, kita secara asasnya ada dominasi satu gabungan di bawah Perikatan dan kemudiannya BN," katanya, sambil menambah era antara 2008 hingga 2020 pula adalah persaingan antara dua gabungan.

"Kemudian Langkah Sheraton berlaku dan apa yang dihadapi Malaysia sejak itu adalah 'Parlimen tergantung secara de facto'," katanya.

"Kerajaan (semasa) adalah apa yang dipanggil orang sebagai kerajaan pintu belakang. Tetapi jika anda letakkannya secara perbandingan, ia hanyalah pertukaran kerajaan di tengah penggal.

"Secara prinsip tiada yang tidak sah, kerana jika Parlimen tergantung, parti politik dapat merundingkan semula kedudukan mereka. Tetapi ramai rakyat rasa tertipu kerana kita terperangkap dalam naratif dua gabungan," katanya lagi.

Katanya lagi, anjakan paradigma kedua adalah majoriti tidak lagi ditakrifkan sebagai jumlah sokongan yang dimiliki kerajaan itu sendiri.

"Sekarang ia tidak semestinya majoriti anda sendiri, tetapi bergantung kepada bagaimana anda mendapatkannya," katanya lagi.